JEDDAH: Impian sekumpulan rakyat Malaysia untuk menyempurnakan ibadah haji bertukar tragedi apabila mereka terpaksa pulang ke tanah air selepas ditahan di Lapangan Terbang Antarabangsa King Abdulaziz, Jeddah, akibat penggunaan visa palsu, meskipun sudah lengkap berihram.
Kejadian yang berlaku sekitar 2015 itu membabitkan kira-kira 30 individu, sekali gus menjadi antara pengalaman paling memilukan sepanjang penglibatan Pengarah Operasi Haji Jeddah, Darul Naim Abu Bakar, dalam operasi haji.
Menurut Darul Naim, kumpulan berkenaan ditahan sebaik tiba di lapangan terbang selepas sistem imigresen Arab Saudi mengesan ketidaksahihan visa yang digunakan.
“Nama dan gambar memang milik mereka, tetapi apabila disemak dalam sistem, visa itu bukan visa sebenar.
“Mereka tidak dibenarkan masuk ke Mekah dan akhirnya terpaksa dihantar pulang,” katanya ketika ditemui baru-baru ini.
Beliau berkata, situasi itu amat meruntun perasaan kerana jemaah berkenaan bukan sahaja gagal menunaikan haji, malah menanggung kerugian kewangan yang besar selepas ditipu ejen tidak bertanggungjawab.
“Lebih menyedihkan, ketika itu mereka sudah berihram dan bersedia sepenuhnya untuk menunaikan ibadah haji,” katanya.
Menurut Darul Naim, pihak Konsulat Malaysia di Jeddah telah berusaha membantu dengan berunding bersama pihak berkuasa Arab Saudi bagi memastikan jemaah tidak dikenakan tindakan lebih keras.
“Kita cuba sedaya upaya supaya mereka tidak ditempatkan dalam lokap, sebaliknya hanya ditahan di kawasan khas lapangan terbang sebelum dihantar pulang. Namun, peraturan di Arab Saudi sangat tegas. Tiada kompromi jika melibatkan dokumen tidak sah,” katanya.
Beliau menegaskan bahawa penggunaan visa palsu bukan sahaja membawa implikasi kewangan, malah boleh memberi kesan jangka panjang kepada rekod perjalanan seseorang ke Arab Saudi.
“Semua direkodkan. Jika disenarai hitam, individu itu berisiko tidak dibenarkan memasuki Arab Saudi pada masa hadapan,” katanya.
Dalam pada itu, Darul Naim memaklumkan bahawa kawalan pihak berkuasa Arab Saudi semakin diperketatkan sejak beberapa tahun kebelakangan ini, khususnya ketika musim haji yang melibatkan jutaan umat Islam dari seluruh dunia.
“Arab Saudi sangat menitikberatkan aspek keselamatan dan pengurusan jemaah. Sebab itu pemeriksaan kini lebih ketat, bukan hanya terhadap jemaah luar negara, malah penduduk tempatan sendiri turut diperiksa dengan teliti,” jelasnya.
Sehubungan itu, beliau menasihatkan bakal jemaah haji agar tidak mengambil risiko dan hanya menggunakan saluran sah serta pakej yang diiktiraf untuk menunaikan haji.
“Jangan mudah terpengaruh dengan tawaran murah atau jalan pintas.
“Jika melanggar peraturan haji, tindakan yang diambil bukan sahaja tegas, malah tidak boleh dirunding,” katanya.
Menyentuh peranan operasi haji di Jeddah, Darul Naim berkata pasukannya berfungsi sebagai nadi penting dalam memastikan pergerakan jemaah Malaysia berjalan lancar dari Madinah ke Mekah.
Katanya, operasi tersebut meliputi keseluruhan pengurusan ketibaan jemaah di Lapangan Terbang Antarabangsa King Abdulaziz termasuk penyelarasan pergerakan dan penempatan mereka di Mekah.