KUALA LUMPUR: Pindaan Perlembagaan Persekutuan bagi mengehadkan tempoh jawatan Perdana Menteri kepada maksimum 10 tahun dilihat sebagai satu langkah memperkukuh institusi negara serta menginstitusikan reformasi politik secara lebih tersusun.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata pindaan tersebut bukan bersifat peribadi atau tertumpu kepada mana-mana individu, sebaliknya bertujuan membina kerangka kepimpinan yang lebih mapan dan berdisiplin di bawah lunas Perlembagaan.
Ketika membentangkan Rang Undang-Undang Perlembagaan (Pindaan) 2026 bagi bacaan kali kedua di Dewan Rakyat hari ini, beliau menegaskan had tempoh itu tidak menjejaskan kuasa prerogatif Yang di-Pertuan Agong, selain tidak mengubah struktur asas demokrasi berparlimen negara.
“Pindaan ini bertujuan memastikan kuasa eksekutif sentiasa tertakluk kepada disiplin Perlembagaan dan prinsip tadbir urus yang baik. Ia adalah usaha memperkukuh institusi, bukan memperlemahkan mana-mana pihak.
"Syariat Islam juga menekankan prinsip Sad al-Dzari'ah, iaitu menutup jalan yang boleh membawa kepada kemudaratan. Justeru penetapan had tempoh jawatan usaha akan mencegah penumpuan kuasa, pengurusan dan menurunkan risiko, selari tuntutan supaya kepimpinan dipelihara dalam kerangka amanah, keadilan dan tanggungjawab," katanya.
Anwar menjelaskan bahawa cadangan mengehadkan tempoh jawatan Perdana Menteri bukan perkara baharu, sebaliknya telah lama menjadi sebahagian daripada wacana reformasi institusi negara.
Tambahnya, demokrasi yang matang memerlukan pembaharuan berprinsip bagi memastikan keseimbangan kuasa dan kelangsungan sistem.
Kerajaan MADANI, katanya, mengambil langkah menterjemahkan wacana tersebut kepada tindakan konkrit sebagai manifestasi komitmen terhadap agenda reformasi yang dijanjikan kepada rakyat.
Tegasnya lagi, dari sudut Perlembagaan, had tempoh jawatan merupakan mekanisme tadbir urus yang diiktiraf dalam demokrasi moden kerana ia membantu memastikan peralihan kepimpinan berlaku secara tertib, teratur dan berlandaskan undang-undang.
“Dari sudut kerangka Perlembagaan, pengehadan tempoh jawatan merupakan satu mekanisme tadbir urus yang diiktiraf dalam demokrasi moden. Mekanisme ini membantu memastikan peralihan kepimpinan berlaku secara tertib, teratur dan berlandaskan undang-undang,” katanya.