Skip to main content

Malaysia

Gangguan penerbangan ke destinasi Asia Barat, penumpang dinasihat periksa jadual

51718952637_MAHB.jpg
MAHB menjelaskan, komuniti lapangan terbang termasuk syarikat penerbangan, pengendali darat, pihak pengawal selia dan pihak berkepentingan lain sedang bekerjasama rapat bagi memantau perkembangan semasa. - Gambar fail/Bernama

KUALA LUMPUR: Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB) memaklumkan kemungkinan kelewatan, perubahan laluan atau pembatalan penerbangan ke destinasi Asia Barat berikutan sekatan ruang udara di beberapa bahagian rantau itu.

Justeru, penumpang dinasihatkan supaya menyemak status penerbangan terkini dengan syarikat penerbangan masing-masing sebelum ke lapangan terbang.

"Gangguan bukan sahaja melibatkan penerbangan terus dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), malah boleh menjejaskan penerbangan sambungan melalui hab transit lain di luar rantau Asia Barat.

"Penumpang digesa menyemak keseluruhan jadual perjalanan termasuk sektor penerbangan sambungan sebelum membuat sebarang perancangan perjalanan," jelas MAHB menerusi satu kenyataan pada Sabtu.

Tambah MAHB, komuniti lapangan terbang termasuk syarikat penerbangan, pengendali darat, pihak pengawal selia dan pihak berkepentingan lain sedang bekerjasama rapat bagi memantau perkembangan semasa.

“Keselamatan kekal menjadi keutamaan. Oleh itu, penumpang dinasihatkan merancang perjalanan lebih awal dan sentiasa mendapatkan maklumat terkini.

"Orang ramai juga disaran merujuk nasihat perjalanan rasmi yang dikeluarkan Kementerian Luar.

"Selain memahami hak pengguna di bawah Kod Perlindungan Pengguna Penerbangan Malaysia yang dikawal selia oleh Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM),” kata MAHB.

Pada Sabtu, Amerika Syarikat dan Israel melancarkan operasi ketenteraan besar-besaran di Iran bagi melumpuhkan keupayaan nuklear dan peluru berpandu Republik Islam berkenaan.

Must Watch Video