KOTA TINGGI: Pasangan warga Singapura rentung dalam kemalangan selepas kereta Ferrari dinaiki mereka terbabas di Kilometer 57.5 Jalan Johor Bahru-Mersing di sini pagi tadi.
Ketua Polis Daerah Kota Tinggi Superintenden Yusof Othman berkata pemandu lelaki berusia 34 tahun serta wanita berusia 33 tahun cedera parah pada bahagian badan dan terbakar disahkan maut di lokasi kejadian.
Beliau berkata pihaknya menerima maklumat berkaitan kejadian daripada orang awam kira-kira 9 pagi.
“Mereka dalam perjalanan dari Johor Bahru ke Mersing. Mayat kedua-dua mangsa telah dirujuk ke Unit Forensik Hospital Kota Tinggi bagi tujuan prosedur siasatan dan kes masih disiasat,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
-- BERNAMA