KUALA LUMPUR: Penceramah, Fathi Na’im dilepas dan dibebaskan oleh Mahkamah Sesyen, di sini, pada Selasa atas satu pertuduhan merogol remaja perempuan berusia 14 tahun di sebuah hotel lima tahun lalu.
Hakim, Tasnim Abu Bakar memutuskan demikian selepas mendapati pihak pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie terhadap Fathi Na’im atau nama sebenarnya, Muhammad Fathi Na’im Mazlam, 34.
Beliau berkata, mahkamah membuat keputusan selepas mendengar, meneliti dan mempertimbangkan keterangan saksi-saksi pendakwaan, termasuk hujahan semua pihak.
“Semasa mangsa disoal balas, mahkamah telah membenarkan permohonan peguam tertuduh untuk memulakan prosiding bagi mencabar kredibiliti mangsa.
“Mahkamah kemudian mendapati keterangan mangsa yang juga saksi pendakwaan ketiga (SP3) tidak dapat dikategorikan sebagai boleh dipercayai atau meyakinkan,” katanya.
Hakim berkata, permohonan pihak pembelaan dibuat selepas mendapati terdapat percanggahan dalam jawapan mangsa semasa pemeriksaan utama ketika perbicaraan di Mahkamah Sesyen Klang bagi pertuduhan kesalahan sama.
“Pihak pendakwaan gagal mewujudkan kes prima facie terhadap pertuduhan pindaan dalam kes ini maka tertuduh dilepaskan dan dibebaskan daripada kes ini tanpa perlu dipanggil membela diri,” katanya.
Dalam kes ini, seramai 11 saksi pendakwaan termasuk SP3, dipanggil memberi keterangan.
Lelaki itu didakwa pada 1 Disember 2022, atas satu pertuduhan merogol seorang remaja perempuan ketika kejadian berusia 14 tahun di sebuah hotel di Jalan Imbi, Bukit Bintang, di sini, pada jam 2 hingga 10 pagi pada 3 Disember 2021.
Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 375(g) Kanun Keseksaan dan boleh dihukum di bawah Seksyen 376(1) kanun sama yang membawa hukuman penjara sehingga 20 tahun dan sebatan, jika sabit kesalahan.
Dalam prosiding berkenaan, pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Siti Pervinah Mohamad Yusof sementara penceramah itu diwakili peguam, Muhammad Ashraff Mohd Diah, Aqmarul Aqil Ismail dan Azlinie Othman.
Sebelum ini, Fathi Na’im didakwa di Mahkamah Sesyen Klang pada 29 November 2022 atas sembilan pertuduhan lain membabitkan kesalahan merogol, amang seksual fizikal dan melakukan persetubuhan menggunakan objek terhadap remaja sama, antara Jun 2021 hingga Februari 2022.
Bagi tiga daripada sembilan pertuduhan itu, dia dijatuhi hukuman penjara 15 tahun dan tiga sebatan selepas Hakim Mahkamah Sesyen Klang, Noridah Adam yang kini bertugas sebagai Hakim Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur, mendapati tertuduh bersalah pada 18 September 2025.
Mahkamah turut memerintahkan hukuman penjara dijalankan serta-merta selepas menolak permohonan penangguhan pelaksanaan hukuman yang dikemukakan pihak pembelaan.
Bagaimanapun, bapa kepada lapan anak itu kemudian berjaya memperoleh penangguhan hukuman selepas Mahkamah Tinggi Klang membenarkan rayuannya.
Sementara itu, baki enam lagi pertuduhan masih di peringkat praperbicaraan dan belum ditetapkan untuk perbicaraan penuh. -Sinar Harian