SHAH ALAM: Menteri Komunikasi Datuk Fahmi Fadzil hari ini menyantuni serta menyampaikan sumbangan menerusi Tabung Kasih@HAWANA kepada Tokoh Wartawan Negara Adibah Amin di kediamannya, di sini.
Fahmi berkata sumbangan itu disampaikan sebagai tanda penghargaan kepada Adibah, 90, yang merupakan penerima ke-671 Tabung Kasih@HAWANA setakat ini.
Turut diserahkan adalah sumbangan oleh Unit Penyelarasan Pelaksanaan Jabatan Perdana Menteri (ICU JPM) bagi mewakili Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.
“Hari ini kami datang untuk melihat sendiri bagaimana keadaan beliau yang kurang sihat, kini mencecah 90 tahun dan tinggal bersama dengan adik beliau. Tapi apa pun kami titipkan doa semoga beliau terus sihat,” katanya kepada pemberita di sini, hari ini.
Turut hadir Setiausaha Akhbar Kanan kepada Perdana Menteri Tunku Nashrul Abaidah, Ketua Pegawai Eksekutif Bernama Datin Paduka Nur-ul Afida Kamaludin, Ketua Pengarah Penyiaran Radio Televisyen Malaysia (RTM) Ashwad Ismail dan Timbalan Pengarah ICU JPM Selangor Najmuddin Jemain.
Adibah kini berada dalam keadaan uzur berikutan faktor usia dan memerlukan penjagaan sepenuh masa. Beliau juga menghidap penyakit kencing manis dan selepas diserang strok pada 2008, kini terlantar serta tidak lagi mampu berjalan.
Adibah yang juga sinonim dengan watak Cikgu Bedah dalam filem komedi Adik Manja merupakan figura yang tidak asing dalam dunia kewartawanan dan kesusasteraan tanah air.
Mengulas lanjut, Fahmi berkata Adibah pernah berkhidmat sebagai editor di akhbar The Star dan New Straits Times, selain mencatat sejarah sebagai wanita pertama memegang jawatan Pengarang Berita di Berita Harian.
Pada Jun 2024, beliau dinobatkan sebagai Tokoh Wartawan Negara 2023 pada Malam Wartawan Malaysia bersempena dengan Hadiah Kewartawan Malaysia MPI-Petronas 2023.
Sehubungan itu, Fahmi berkata generasi wartawan muda perlu mencontohi perjuangan Adibah dalam memperkukuh profesion kewartawanan di negara ini.
“Harapan saya bagi generasi wartawan baharu, mereka dapat mengikuti dan memahami bukan hanya perjuangan para wartawan yang datang sebelum mereka, tetapi memahami realiti bahawa mereka bukan sekadar membuat pelaporan, tapi juga membentuk negara bangsa yang merdeka dan berdaulat serta meningkatkan kualiti kewartawanan dan tahap etika,” katanya.
Sementara itu, adik Adibah, Khalilah Fadzilah Amin, 87, turut menzahirkan terima kasih atas keprihatinan yang diberikan terhadap kakaknya yang uzur.
“Saya ingin mengucapkan ribuan terima kasih kepada semua yang membantu kakak saya. Saya menghargai kesudian mereka datang menziarahinya serta mengambil berat tentang keadaannya,” katanya.
Pada masa sama, beliau berkata sebuah buku mengenai perjalanan hidup Adibah, terutama dalam kerjayanya akan dilancarkan pada 12 April ini pada satu majlis bagi memperingati tokoh wartawan itu.
-- BERNAMA