Skip to main content

Malaysia

Fahmi petik Surah al-Hujurat, seru amal prinsip tabayyun elak sebar berita palsu

KUALA LUMPUR, 4 Mac -- Menteri Komunikasi Datuk Fahmi Fadzil berucap pada Majlis Penyerahan Sumbangan dan Iftar bersama Unit Penyelarasan Pelaksanaan Wilayah (ICU Wilayah) di Masjid Al Khadijah, Pantai Dalam hari ini.  -- fotoBERNAMA (2026)
Fahmi merujuk Surah al-Hujurat ayat keenam yang menekankan mesej sebarang maklumat perlu diteliti kesahihannya bagi mengelakkan berlaku agenda lebih buruk akibat penyebaran kandungan tidak tepat. - Gambar fail/Bernama

PUTRAJAYA: Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil menyeru masyarakat khususnya umat Islam agar mengamalkan prinsip tabayyun sebelum berkongsi sebarang kandungan berita.

Beliau merujuk Surah al-Hujurat ayat keenam yang menekankan mesej bahawa sebarang maklumat perlu diteliti kesahihannya bagi mengelak berlakunya agenda lebih buruk akibat penyebaran kandungan tidak tepat.

“Bagi umat Islam, amalan tabayyun amat dituntut seperti dinyatakan dalam Surah al-Hujurat ayat keenam... 'Wahai orang-orang yang beriman, jika datang kepada kamu seorang fasik membawa sesuatu berita, maka selidikilah untuk menentukan kebenarannya supaya kamu tidak menimpakan sesuatu kaum dengan perkara yang tidak diingini dengan sebab kejahilan kamu sehingga menjadikan kamu menyesali apa yang kamu telah lakukan',” katanya dalam sidang media selepas mesyuarat Kabinet, di sini, pada Rabu.

Pesanan Fahmi itu susulan lambakan kandungan maklumat palsu apabila setakat jam 3 petang Rabu, sebanyak 42 kertas siasatan telah dibuka oleh Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) berkait penyebaran berita tidak tepat di media sosial.

“Seramai 22 individu dari pelbagai lokasi di seluruh negara sudah dipanggil untuk dirakam percakapan bagi membantu siasatan. Daripada 42 kertas siasatan yang dibuka, 31 daripadanya membabitkan berita palsu berhubung kos bahan api.

"Pada masa sama, MCMC setakat ini membuat 355 permohonan penurunan kandungan palsu dari pelbagai platform media sosial, dengan 154 daripadanya diturunkan oleh penyedia platform, manakala selebihnya masih dalam siasatan,” ujarnya.

Sementara itu, Fahmi memaklumkan, Jemaah Menteri turut mempertimbang untuk menempatkan anggota polis di stesen minyak berdekatan sempadan negara bagi mempertingkat aspek keselamatan di lokasi berisiko tinggi.

Jelasnya, ini susulan terdapat beberapa penahanan yang dilakukan di stesen minyak di kawasan sempadan berkait penyeludupan bahan api.

Dalam perkembangan lain, Fahmi memberitahu, kerajaan akan meneliti mekanisme untuk memanfaatkan sistem MyKasih dan penggunaan MyKad bagi penyaluran subsidi termasuk diesel kepada rakyat Malaysia.

Antara lain, Kabinet turut mengambil maklum berkait golongan nelayan dengan beberapa tindakan akan diputuskan, mengambil kira perbezaan antara harga diesel bersubsidi dengan pulangan hasil yang dinikmati nelayan.

Must Watch Video