Skip to main content

Politik

Hamzah lepas jawatan Ketua Pembangkang, PN bakal umum pengganti

https://www.sinarharian.com.my/article/773110/berita/politik/pembangkang-gesa-sidang-khas-parlimen-bincang-impak-konflik-iran
Dr Ahmad Samsuri mengesahkan Hamzah bukan lagi penyandang jawatan Ketua Pembangkang. - Gambar fail/Sinar Harian

​KUALA TERENGGANU: Teka-teki mengenai status jawatan Ketua Pembangkang akhirnya terjawab apabila Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar mengesahkan Datuk Seri Hamzah Zainuddin bukan lagi penyandang jawatan tersebut.

Ahmad Samsuri berkata, susulan peletakan jawatan itu, beliau telah mengarahkan Setiausaha Agung PN, Datuk Seri Takiyuddin Hassan, untuk menghantar surat rasmi bagi memaklumkan kekosongan jawatan kepada Yang Dipertua Dewan Rakyat.

"Saya rasa esok (Isnin) surat itu akan dihantar memandangkan hari ini merupakan hari cuti. Ia melibatkan pemakluman kekosongan jawatan Ketua Pembangkang buat masa ini.

"Apabila kita hantar surat menyatakan berlaku kekosongan, maka secara automatik jawatan itu dikosongkan. Datuk Seri Hamzah Zainuddin bukan lagi Ketua Pembangkang," katanya menerusi rakaman video di media sosial pada Ahad.

Mengulas mengenai kemelut yang timbul sebelum ini, Ahmad Samsuri menjelaskan keadaan tersebut berlaku berkemungkinan kerana jawatan berkenaan masih mempunyai penyandang.

Bagaimanapun, beliau menegaskan gabungan itu kini mempunyai strategi tertentu untuk bergerak dalam kapasiti parti komponen memandangkan Dewan Rakyat masih belum bersidang.

"Kita akan mempunyai Ketua Pembangkang yang baharu menjelang sidang Dewan Rakyat pada Jun ini," jelas beliau.

Menurut takwim Dewan Rakyat, mesyuarat kedua bagi penggal kelima Parlimen ke-15 akan bersidang mulai 22 Jun hingga 16 Julai.

Dalam pada itu, ditanya mengenai tuntutan Pas Johor agar jawatan tersebut diberikan kepada pemimpin Pas memandangkan sebelum ini ia diisi oleh wakil Bersatu, Ahmad Samsuri menyifatkan ia sebagai satu perkara yang lumrah dalam politik.

"Kalau kita tanya 10 orang, mungkin ada 10 jawapan berbeza. Biasalah, masing-masing mempunyai hasrat terhadap kepimpinan. Apa pun, kita mendengar semua pandangan dan akan berbincang mengenainya," katanya lagi.

Dalam perkembangan lain, Ahmad Samsuri menyatakan sokongan PN terhadap cadangan pewujudan Akta Pendanaan Politik yang telah disuarakan sejak awal.

Beliau bagaimanapun menekankan agar kerajaan mengadakan sesi libat urus dengan semua parti politik, termasuk yang tidak mempunyai wakil di Parlimen, sebelum kerangka akta tersebut dimuktamadkan.

"Kita cari yang terbaik, bukan hendak mengejar masa. Kita mahu apabila ia dibentangkan di Parlimen nanti, ia akan diluluskan dengan tenang.

"Ini bagi mengelakkan ia menerima nasib sama seperti cadangan akta sebelum ini yang ditolak di peringkat Parlimen," ujar beliau. - Sinar Harian

Must Watch Video