Skip to main content

Malaysia

Everest bukan sekadar pencapaian, tetapi perjalanan 20 tahun – Kicok

Pendaki negara, Mohd Khafiz Bachok , Gunung Everast , credit AWANI
Pendaki negara Mohd Khafiz Bachok selamat tiba di lapangan terbang antarabangsa KLIA pada Selasa, disambung oleh ahli keluarga dan rakan-rakan. - Astro AWANI

SEPANG: Kejayaan menawan Gunung Everest bukan sekadar satu pencapaian peribadi, sebaliknya merupakan perjalanan panjang selama dua dekad yang akhirnya membuahkan hasil. 

Pendaki negara Mohd Khafiz Bachok atau lebih dikenali sebagai Kicok berkata, ekspedisi ke puncak tertinggi dunia itu merupakan kemuncak kepada usaha berterusan sejak lebih 20 tahun lalu, termasuk pengalaman mendaki beberapa gunung tertinggi dunia serta pengorbanan yang tidak mudah dilihat di permukaan.

“Alhamdulillah hari ini saya selamat tiba di KLIA selepas lebih kurang 52 hari ekspedisi ke Gunung Everest yang bermula pada 4 April 2026. Saya mula pendakian akhir ke puncak pada 11 Mei bersama seorang lagi pendaki, Margareth Chew,” katanya ketika ditemui di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), di sini pada Selasa. 

Menurutnya, beliau berjaya menawan puncak Everest pada 18 Mei jam 5.24 pagi dengan ketinggian 8848.86 meter, manakala pendaki Margaret Chew, 56, hanya meneruskan pendakian sehingga Kem 4 pada ketinggian 7,920 meter sebelum membuat keputusan berpatah balik atas faktor keselamatan susulan keadaan laluan yang terlalu sesak.

“Keadaan pada hari tersebut terlalu crowded (sesak) dan boleh membahayakan pendakian. Jadi kami minta beliau berpatah balik demi keselamatan,” katanya.

Mohd Khafiz berkata, kejayaan itu juga bukan bertujuan untuk membuktikan apa-apa kepada sesiapa, sebaliknya lebih kepada usaha merakamkan perjalanan dokumentari yang mengisahkan kisah pendakiannya sejak mula terinspirasi pada tahun 1997.

“Saya adalah pendaki Malaysia ke-30 yang berjaya menawan Everest selepas hampir 30 tahun. Projek ini sebenarnya untuk dokumentari TV yang akan disiarkan sempena bulan kemerdekaan nanti,” jelasnya.

Beliau turut berkongsi perjalanan pendakiannya yang merangkumi ekspedisi ke beberapa gunung utama dunia termasuk K2 di Pakistan serta Manaslu, selain cabaran latihan dan pencarian dana sejak bertahun-tahun.

Mengulas cabaran pendakian, Mohd Khafiz berkata tahun ini merupakan antara musim paling sukar di Everest, termasuk isu di Icefall yang menyebabkan gangguan besar kepada laluan pendakian.

“Cuaca dari kem 3 memang sangat teruk, angin kuat sehingga 40 hingga 50 kilometer sejam dengan suhu ekstrem. Muka saya pun hampir beku, tetapi saya teruskan dengan persediaan yang cukup,” katanya.

Beliau berkata, pengalaman tragedi melibatkan pendaki Malaysia sebelum ini turut memberi kesan emosi dan menjadikannya lebih berhati-hati sepanjang ekspedisi.

“Saya lebih berhati-hati, sentiasa pastikan keadaan fizikal, oksigen dan tenaga cukup kerana yang paling penting ialah selamat turun semula,” ujarnya.

Khafiz berkata, motivasi utama beliau adalah peluang yang datang selepas 20 tahun persediaan dan latihan.

“Ini satu-satunya peluang terbaik selepas 30 tahun saya tunggu. Saya pastikan saya sampai dan paling penting selamat turun,” katanya.

Mengulas fasa penurunan, beliau berkata proses turun lebih terkawal berbanding pendakian kerana keadaan cuaca yang lebih baik serta pengalaman terdahulu di gunung lain yang membantu mengurangkan risiko.

“Semua orang nampak orang cerita tentang sampai puncak, tapi realitinya cabaran paling besar adalah untuk turun semula dengan selamat. Itu yang paling saya fokus,” katanya.

Khafiz menambah bahawa kejayaan tersebut tidak akan tercapai tanpa sokongan ramai pihak sepanjang perjalanan ekspedisi itu.

“Ini bukan kejayaan saya seorang. Saya takkan berjaya tanpa rakan-rakan dan doa rakyat Malaysia yang sentiasa bersama saya dari awal,” katanya lagi.

Must Watch Video

Advertisement