Skip to main content

Dunia

Human Rights Watch: Piala Dunia 2026 "potensi bencana hak asasi manusia"

61769554591_FIFAWorldCup.jpg
Piala Dunia didakwa diselubungi ketidaktentuan yang luar biasa susulan kontroversi melibatkan agensi Penguatkuasaan Imigresen dan Kastam (ICE) AS. - Gambar fail

BERLIN: Human Rights Watch menyifatkan Piala Dunia di Amerika Syarikat (AS), Mexico dan Kanada pada Jun serta Julai ini sebagai "potensi bencana hak asasi manusia," lapor Agensi Berita Jerman (dpa).

Pengarah organisasi itu, Minky Worden memberitahu portal berita ntv.de, kejohanan itu sepatutnya dipandu oleh rangka kerja hak asasi manusia.

"Namun saya boleh katakan dengan pasti bahawa sekalipun Piala Dunia ini mungkin kekal sebagai yang terbesar, ia tidak akan menjadi yang terbaik dari segi hak asasi manusia," katanya.

Menurut Worden, Piala Dunia itu diselubungi ketidaktentuan yang luar biasa susulan kontroversi melibatkan agensi Penguatkuasaan Imigresen dan Kastam (ICE) AS, yang mungkin bertanggungjawab melaksanakan langkah keselamatan semasa acara itu berlangsung.

"ICE, pasukan polis separa tentera, mengamalkan dasar kejam dan tidak berperikemanusiaan, termasuk terhadap individu yang mempunyai hak untuk kekal di AS," kata beliau.

Bagaimanapun, peranan sebenar yang akan dimainkan oleh ICE masih belum jelas.

Baru-baru ini, Timbalan Ketua Staf Miami Rodney Barreto menegaskan, beliau menerima jaminan daripada Setiausaha Negara AS, Marco Rubio yang tiada ejen ICE akan ditempatkan di stadium semasa perlawanan Piala Dunia berlangsung.

Menurut Worden, "perang budaya" Presiden AS, Donald Trump masih memberi kesan kepada penganjuran Piala Dunia.

"Ambil contoh kekurangan langkah hak asasi manusia di beberapa bandar tuan rumah. Langkah itu sepatutnya memastikan perlindungan terhadap golongan minoriti dan kumpulan rentan," katanya.

Beliau berkata penganugerahan Hadiah Keamanan FIFA kepada Trump adalah satu "bentuk rasuah".

"Ia hanyalah rekaan yang direka untuk memuji seorang lelaki yang bukan memperjuangkan keamanan, sebaliknya penindasan ganas terhadap rakyat AS, pengeboman di luar sempadan negara dan konflik di luar negara."

-- BERNAMA-dpa

Must Watch Video