KUALA LUMPUR: Polis menemui sejumlah besar wang tunai dan barangan kemas sehingga melimpah keluar daripada puluhan bagasi dan kotak semasa serbuan di sebuah unit mewah di Pavilion Residences yang dikaitkan dengan Rosmah Mansor pada 17 Mei 2018.
Perkara itu didedahkan bekas Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman, Datuk Seri Amar Singh Ishar Singh ketika memberi keterangan pada hari kedua perbicaraan kes saman AS$14.57 juta oleh syarikat barang kemas dari Lubnan, Global Royalty Trading SAL di Mahkamah Tinggi, hari ini.
Menurut beliau, pemeriksaan dilakukan susulan maklumat mencurigakan berkaitan barangan bukti kes 1Malaysia Development Berhad (1MDB) yang melibatkan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.
Amar Singh berkata, ketika tiba di unit berkenaan sekitar jam 6.30 petang, kediaman itu kosong tanpa penghuni. Namun, katanya di salah satu bilik, pasukan serbuan menemui 71 bagasi, lebih 284 kotak beg tangan serta satu kotak plastik lutsinar.
“Sebanyak 35 beg mengandungi wang tunai pelbagai mata wang, 25 beg berisi barang kemas, enam beg jam tangan dan selebihnya mengandungi aksesori lain seperti cermin mata hitam, dompet dan sarung.
“Keadaan menunjukkan barang-barang ini dibungkus secara tergesa-gesa. Wang tunai didapati berselerak manakala barang kemas dibalut menggunakan plastik,” katanya.
Beliau berkata, usaha untuk mengira dan menyenaraikan semua barangan tidak dapat dilakukan di lokasi kerana jumlahnya terlalu banyak, selain kekangan kemudahan seperti ketiadaan penghawa dingin, peralatan penimbang serta kepakaran untuk mengesahkan ketulenan barangan.
“Beg berisi wang tunai juga dibungkus longgar sehingga isinya melimpah keluar dan bertaburan di lantai,” jelasnya.
Tambah beliau, semua bagasi kemudian dibungkus semula menggunakan plastik khas seperti di lapangan terbang bagi memastikan keselamatan dan integriti bahan bukti terpelihara sebelum dihantar ke Bukit Aman menggunakan lima kenderaan ‘Black Maria’ dengan kawalan ketat.
“Setiap kenderaan diiringi pasukan peronda bagi memastikan semua barangan tiba dalam keadaan asal sebelum diserahkan kepada Bank Negara Malaysia,” katanya.
Selepas proses pengiraan, sebanyak 1,041 barangan kemas dikenal pasti daripada rampasan tersebut.
Dalam pernyataan saksinya, Amar Singh turut memaklumkan bahawa seorang pegawai penyiasat serta wakil Global Royalty telah membuat pengecaman terhadap salah satu barangan, yang kemudiannya dipulangkan kepada syarikat berkenaan.
Pada 29 Mac 2023, Global Royalty memfailkan saman terhadap Rosmah, mendakwa dia tidak bercakap benar mengenai status 44 barangan kemas yang sebelum ini diserahkan kepadanya, termasuk kalung berlian, cincin, gelang dan tiara.
Syarikat itu mendakwa hanya satu daripada 44 barangan tersebut berada dalam simpanan pihak berkuasa, manakala selebihnya tidak dapat dikesan, dan menuduh Rosmah meletakkan tanggungjawab kepada kerajaan sedangkan barangan itu sebenarnya hilang.
Prosiding di hadapan Hakim, Quay Chew Soon bersambung pada jam 2.30 petang.