Skip to main content

Malaysia

Anwar rakam takziah atas pemergian legenda muzik India Asha Bhosle

FILE - Indian Bollywood playback singer Asha Bhosle attends the Music launch of Bhosle's film ëMaií in Mumbai, India, Jan. 22, 2013. (AP Photo/Rafiq Maqbool, File)
Bhosle, 92, dilaporkan meninggal dunia di sebuah hospital di Mumbai pada Ahad akibat kegagalan pelbagai organ. - Foto AP

KUALA LUMPUR: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim merakamkan ucapan takziah atas pemergian legenda muzik India, Asha Bhosle, yang disifatkan sebagai kehilangan besar kepada dunia seni dan kebudayaan.

Menerusi hantaran di Facebook hari ini, beliau menyifatkan Bhosle sebagai figura seni yang telah menyatukan emosi, tradisi dan pensejarahan melalui ribuan karya merentas generasi, dengan suara unik yang sarat dengan jiwa dan tenaga sehingga menghidupkan layar perak serta drama yang menyentuh jutaan peminat di seluruh dunia.

“Sebagai adinda kepada Lata Mangeshkar, beliau telah mengangkat legasi keluarga yang begitu besar dalam khazanah seni Asia Selatan dan tetap membina jalur kepemimpinan seninya dengan gaya tersendiri, selain berani bereksperimen, buat lebih daripada sekadar biasa, tidak mediocre, malah terus relevan dalam arus dan rencam zaman yang sentiasa menjanjikan perubahan dan citra baharu,” kata beliau.

Anwar turut menyampaikan takziah kepada keluarga mendiang serta seluruh pencinta seni, sambil berharap legasi Bhosle terus menyemarak dan menjadi ilham kepada generasi akan datang dalam memperkaya dunia muzik dan kebudayaan.

Bhosle, 92, dilaporkan meninggal dunia di sebuah hospital di Mumbai pada Ahad akibat kegagalan pelbagai organ selepas dimasukkan pada Sabtu kerana jangkitan dada. Penyanyi playback terkenal Bollywood itu dikebumikan pada Isnin di Shivaji Park, menurut laporan media tempatan.

Dilahirkan pada 8 Sept 1933, penyanyi itu merakamkan lebih 12,000 lagu dalam kira-kira 800 filem sepanjang kerjaya seni yang merentasi beberapa dekad, selain diiktiraf oleh Rekod Dunia Guinness pada 2011 sebagai artis dengan jumlah rakaman studio terbanyak.

-- BERNAMA

 

Must Watch Video