KUALA LUMPUR: Cabaran ekonomi hari ini menyerlahkan ketahanan dan kebijaksanaan rakyat Malaysia dengan beralih kepada amalan lestari yang bukan sahaja berjaya mengurangkan beban kewangan, malah membentuk komuniti lebih prihatin terhadap ekosistem demi generasi akan datang.
Ketua Pegawai Eksekutif Gabungan Persatuan-Persatuan Pengguna Malaysia (FOMCA), Dr T Saravanan berkata, walaupun pihaknya menerima peningkatan aduan berkaitan kenaikan harga barangan berbungkus, situasi tersebut secara tidak langsung telah memperkukuh kesedaran orang ramai terhadap hak mereka sebagai pengguna.
Beliau berkata, pengguna lebih peka terhadap tindakan peniaga yang menaikkan harga barangan dengan alasan peningkatan kos plastik sebagai produk sampingan petroleum seterusnya mengambil inisiatif bagi mengurangkan kebergantungan terhadap plastik.
“Apa yang positif ialah 'tekanan poket' ini telah mendorong ramai pengguna mengubah tabiat ke arah kelestarian seperti mengitar semula beg plastik lama atau membawa beg sendiri dari rumah.
“FOMCA melihat trend membawa beg sendiri semakin meningkat, terutamanya di kawasan bandar. Inisiatif caj tambahan beg plastik dan kempen kesedaran mula menampakkan hasil dalam menggalakkan perubahan budaya mesra alam,” katanya kepada Bernama.
Saravanan berkata, bagi memastikan momentum positif ini berterusan, usaha pendidikan pengguna perlu dipergiat agar amalan lestari menjadi gaya hidup kekal, bukan sekadar tindak balas sementara terhadap kenaikan harga.
Sementara itu, Timbalan Presiden Pertubuhan Mesra Pengguna Malaysia (PMPM), Azlin Othman berkata, tekanan ekonomi semasa boleh mendorong kerajaan agar mempercepat agenda kelestarian negara.
Beliau berkata, situasi itu secara tidak langsung memaksa industri dan rakyat mengurangkan kebergantungan terhadap plastik sekali guna lebih awal daripada jangkaan.
“Kami melihat peningkatan kesedaran ini sebagai langkah praktikal mengimbangi kenaikan kos. Namun begitu, kami tetap menggesa pihak berkuasa memperkukuh pemantauan bagi memastikan tiada peniaga mengambil kesempatan menaikkan harga secara melampau dengan alasan kos pembungkusan plastik global meningkat,” katanya.
Dalam pada itu, industri plastik negara turut mengakui cabaran bekalan bahan mentah akibat krisis global, namun tetap komited mencari penyelesaian bagi menstabilkan harga di peringkat hiliran.
Presiden Persatuan Pengilang Plastik Malaysia (MPMA), Cheah Chee Chon berkata, gangguan bekalan bahan mentah berpunca daripada kerosakan infrastruktur huluan kritikal di Asia Barat yang menjejaskan pengeluaran resin.
“Proses normalisasi sepenuhnya dijangka mengambil masa beberapa bulan. Gangguan bekalan ini mengakibatkan kenaikan kos yang memberi kesan langsung kepada sektor kritikal seperti pembungkusan makanan, farmaseutikal, serta elektrik dan elektronik (E&E),” katanya.
Bagi mengurangkan kesan inflasi terhadap pengguna, MPMA mengesyorkan langkah proaktif kerajaan antaranya menggantung sementara duti import bagi resin plastik, khususnya duti 10 peratus daripada sumber bukan ASEAN.
Langkah itu, katanya, akan membolehkan kepelbagaian sumber bekalan dan pengurangan kos pengeluaran secara langsung.
Beliau juga mencadangkan pemansuhan Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) sebanyak lima peratus ke atas resin bagi meningkatkan kecairan pasaran serta mengurangkan tekanan kos sara hidup rakyat secara keseluruhan menerusi kestabilan harga barangan siap.
-- BERNAMA