KAJANG: Dua penjenayah yang ditembak mati di Jalan Persiaran Seri Putra 2, Bandar Seri Putra, di sini, Isnin malam dipercayai anggota kumpulan jenayah yang menyasarkan rumah berhampiran lebuh raya bagi memudahkan mereka melarikan diri sejurus melakukan samun.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk M Kumar berkata, taktik itu digunakan bagi membolehkan suspek terus memasuki lebuh raya dan menghilangkan diri dengan pantas selepas melakukan jenayah.
“Kumpulan itu dipercayai mempunyai kira-kira 10 ahli itu turut memilih kawasan yang kurang liputan kamera litar tertutup (CCTV)
bagi mengelak dikesan pihak penguat kuasa.
“Semakan mendapati kedua-dua suspek mempunyai kira-kira 30 rekod jenayah membabitkan samun, pecah rumah dan curi kenderaan.
“Kumpulan terbabit juga dipercayai aktif lebih setahun di beberapa kawasan sekitar Selangor dan Melaka,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kajang, di sini, pada Selasa.
Menurut Kumar, berdasarkan corak dan aktiviti jenayah kumpulan itu, polis tidak menolak kemungkinan mereka mempunyai kaitan dengan suspek kes tembak yang mengorbankan tiga individu di Durian Tunggal, Melaka.
Dalam kejadian itu, dua lelaki tempatan berusia 25 dan 46 tahun ditembak mati selepas melepaskan tembakan ke arah pasukan polis.
"Suspek enggan berhenti sebelum memecut laju dan melepaskan tembakan ke arah pasukan polis.
“Polis kemudian membalas tembakan bagi menghentikan ancaman,” katanya.
Hasil pemeriksaan, polis menemukan sepucuk revolver .38 Smith & Wesson bersama enam butir peluru serta tiga kelongsong peluru.
Turut dirampas empat bilah parang, pakaian, topeng muka, sarung tangan dan tiga nombor pendaftaran kenderaan.
Polis juga menemukan pelbagai peralatan pecah rumah termasuk kuku kambing, tukul besi, pemutar skru, pemotong besi dan wayar kabel.
Kedua-dua mayat dihantar ke Hospital Serdang untuk bedah siasat.