IPOH: Dua orang maut manakala dua lagi cedera dalam dua nahas berasingan yang melibatkan tiga buah kenderaan di Ayer Tawar dan Lenggong, awal pagi ini.
Dalam kejadian pertama di Pekan Ayer Tawar, sebuah kereta jenis Perodua Myvi terbabas lalu terbalik berhampiran persimpangan lampu isyarat, menyebabkan pemandunya maut tersepit manakala penumpang hadapan tercampak keluar.
Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, Sabarodzi Nor Ahmad berkata, pihaknya menerima panggilan mengenai kemalangan itu pada jam 5.05 pagi.
“Kedua-dua mangsa berusia dalam lingkungan 40-an dan pemandu kereta yang tersepit disahkan telah meninggal dunia oleh pasukan perubatan dari Kementerian Kesihatan (KKM) yang hadir manakala mangsa yang tercampak keluar mengalami kecederaan,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.
Beliau berkata, ketua operasi melaksanakan size-up seterusnya mengaplikasikan konsep SAVER dengan mengarahkan anggota melaksanakan kerja penyelamatan menggunakan peralatan hidraulik dan pengusung sehingga mangsa berjaya dikeluarkan.
Menurutnya, mangsa yang meninggal dunia diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya manakala mangsa yang cedera diberikan rawatan oleh pasukan perubatan dan dihantar ke hospital bagi menerima rawatan lanjut.
Operasi yang membabitkan tujuh anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Ayer Tawar tamat jam 6.30 pagi.
Dalam satu lagi kejadian, seorang penumpang warganegara Indonesia berusia 24 tahun maut, manakala pemandu warga tempatan berumur 40 tahun patah bahu selepas kenderaan utiliti sukan (SUV) jenis Toyota Unser yang mereka naiki terlibat dalam nahas dengan sebuah kenderaan pacuan empat roda jenis roda Nissan Navara berhampiran Kampung Padang Grus, Lenggong.
Sabarodzi berkata, pihaknya menerima panggilan mengenai kemalangan itu pada jam 5.47 pagi.
“Setibanya jentera di tempat kejadian, didapati terdapat dua orang mangsa yang menaiki Toyota Unser telah tersepit dan tidak sedarkan diri manakala pemandu kereta Nissan Navara tiada di lokasi kejadian,” ujarnya.
Menurutnya, ketua operasi melaksanakan size-up seterusnya mengaplikasikan konsep SAVER dengan mengarahkan anggota melakukan kerja penyelamatan dengan menggunakan peralatan menyelamat dan pengusung bagi mengeluarkan mangsa yang tersepit.
Setelah berjaya dikeluarkan, katanya, mangsa yang cedera diberikan rawatan awal oleh pasukan perubatan KKM dan dihantar ke hospital dengan menggunakan ambulans bagi menerima rawatan lanjut.
Mangsa yang telah disahkan meninggal dunia diserahkan pada pihak polis untuk tindakan selanjutnya.
Sabarodzi berkata, anggota bomba juga turut membantu membuat pencucian jalan bagi membuang serpihan kenderaan yang pecah akibat kemalangan.
Operasi yang membabitkan lima anggota dari BBP Lenggong, tamat jam 8.02 pagi.