Skip to main content

Malaysia

Dua juta kenderaan dijangka masuk Kelantan sempena Aidilfitri

61659933020_LebuhrayaKarak.jpg
JPJ akan menjalankan rondaan di semua Jalan Persekutuan dan Negeri dengan tumpuan kepada 10 koridor utama trafik dan 38 lokasi blackspot kemalangan. - Gambar fail

KOTA BHARU: Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) menganggarkan dua juta kenderaan akan memasuki Kelantan sempena Aidilfitri ini susulan kepulangan perantau ke kampung halaman masing-masing.

Pengarah JPJ Kelantan Mohd Misuari Abdullah berkata sehubungan dengan itu pihaknya akan menempatkan anggota di Jalan Persekutuan dan Negeri yang telah dikenal pasti.

"JPJ akan menjalankan rondaan di semua Jalan Persekutuan dan Negeri dengan tumpuan kepada 10 koridor utama trafik dan 38 lokasi blackspot kemalangan.

"Antara lokasi blackspot kemalangan adalah Jalan Gua Musang-Kuala Krai, Jalan Pasir Puteh-Kuala Terengganu, Terengganu dan Jalan Jeli-Gerik, Perak," katanya kepada pemberita selepas meninjau Sistem Kesedaran Keselamatan Automatik (AWAS) di hadapan Istana Kubang Kerian di sini hari ini.

Mohd Misuari berkata sepanjang tempoh pelaksanaan Ops Khas Hari Raya Aidilfitri 2026, pihaknya menggerakkan seramai 187 anggota penguat kuasa, melibatkan 33 kenderaan penguat kuasa serta 50 pasukan operasi yang terdiri daripada semua bahagian JPJ Kelantan.

Sementara itu, mengenai kamera AWAS, Mohd Misuari berkata hasil pemantauan di FT03 Seksyen 702 Jalan Kota Bharu-Kuala Terengganu, sebanyak 24,135 kes pelanggaran had laju direkodkan dalam tempoh 17 Feb hingga 5 Mac lepas.

"Daripada jumlah tersebut, 15,553 kes melibatkan kenderaan dari arah Kota Bharu manakala 8,582 kes pula membabitkan kenderaan dari arah Kuala Terengganu.

"Berdasarkan analisis harian, jumlah pelanggaran tertinggi direkodkan pada 20 Feb lepas dengan 1,771 kes. Secara purata, lebih 1,400 kes pelanggaran had laju dicatatkan setiap hari sepanjang tempoh pemantauan tersebut," katanya.

-- BERNAMA

Must Watch Video