Skip to main content

Malaysia

Dua beranak maut motosikal bertembung kereta

Kenderaan yang terlibat dalam nahas meragut nyawa dua beranak di Sandakan pada Sabtu. Foto: PDRM
Kenderaan yang terlibat dalam nahas meragut nyawa dua beranak di Sandakan pada Sabtu. - Foto PDRM

SANDAKAN: Seorang wanita dan anak perempuannya maut selepas motosikal dinaiki mereka bertembung dengan sebuah kereta di Batu 23, Jalan Labuk, di sini semalam.

Ketua Polis Daerah Sandakan ACP George Abd Rakman berkata kejadian pada 4 petang itu menyebabkan kanak-kanak berusia tujuh tahun itu meninggal dunia di lokasi kejadian manakala ibunya berusia 28 tahun di Hospital Duchess of Kent di sini.

Beliau berkata penunggang motosikal terbabit dan pemandu kereta turut cedera serta dirawat di hospital sama.

"Motosikal itu dinaiki tiga sekeluarga dari arah bandar Sandakan ke Beluran manakala kereta dari arah Bukit Garam menuju pusat bandar.

“Berdasarkan siasatan, motosikal itu dipercayai cuba memotong sebuah kereta lain sebelum bertembung dengan kereta dari arah bertentangan," katanya dalam kenyataan hari ini.

George berkata kemalangan sedang disiasat lanjut mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

-- BERNAMA

Must Watch Video