KUALA LUMPUR: Diplomasi strategik Malaysia memberikan harapan keamanan untuk Asia Barat dalam persekitaran geopolitik tidak menentu yang jika tersilap langkah, boleh mencetuskan konflik serantau lebih besar, menurut sebuah badan pemikir Malaysia.
Menurut Institut Pengajian Islam Lanjutan Antarabangsa (IAIS), diplomasi berprinsip Malaysia menawarkan laluan ke arah hasil yang membina.
“Dengan melibatkan diri secara langsung dengan pemimpin negara-negara penting, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim telah membuka jalan yang boleh membawa kepada meredakan permusuhan menerusi langkah membina keyakinan dalam kalangan pihak bertelagah,” menurut insititut itu dalam kenyataan pada Isnin.
Penglibatan sedemikian boleh membawa kepada pengukuhan perpaduan dalam kalangan negara Islam sekali gus memastikan tindakan kolektif untuk melindungi kestabilan dan keharmonian.
Penglibatan diplomatik Malaysia juga dapat membantu memelihara ruang diplomatik untuk rundingan sensitif yang mungkin membuka jalan ke arah gencatan senjata atau koridor kemanusiaan.
Menurut IAIS pendekatan itu boleh meningkatkan kredibiliti Malaysia sebagai pengantara yang dipercayai dan merapatkan dialog antara negara Teluk, Iran dan kuasa global.
“Diplomasi sering berlaku di balik tabir iaitu rundingan yang bijaksana menghasilkan dialog yang jujur dan membina.
"Ukuran sebenar kejayaan bukan terletak pada retorik awam tetapi pada keupayaan untuk membina kepercayaan, mengendurkan ketegangan dan mewujudkan bukaan untuk keamanan yang berkekalan," menurut IAIS.
Reputasi Malaysia sejak sekian lama sebagai sebuah negara yang sederhana dan inklusif meletakkannya secara unik untuk berperanan sebagai jambatan dialog antara Asia Tenggara, dunia Islam dan masyarakat antarabangsa.
Peranan itu boleh membuahkan hasil yang ketara termasuk bantuan kemanusiaan untuk Gaza, momentum yang diperbaharui untuk keadilan Palestin dan kerjasama serantau bagi mencegah ketidakstabilan menjadi lebih teruk
Menurut IAIS dalam situasi yang rapuh, pendekatan konfrontasi berisiko menjejaskan usaha penstabilan yang sedang dijalankan.
Diplomasi seimbang Malaysia yang menggabungkan solidariti moral dengan wawasan strategik memastikan advokasi keadilan tidak menutup jalan untuk keamanan dan cadangan untuk Malaysia mengambil pendirian lebih agresif mesti dipertimbangkan dengan teliti.
“Diplomasi berkesan tidak ditakrifkan oleh suara paling lantang, tetapi oleh keupayaan untuk memupuk kepercayaan dan dialog terbuka dalam kalangan musuh,” menurut IAIS.
Institut itu menegaskan masyarakat sivil dan semua pihak berkepentingan perlu menyokong inisiatif diplomatik Malaysia dan mengakui bahawa penglibatan yang membina boleh mendatangkan hasil yang jauh lebih berkekalan daripada polemik.
Ia menambah pendekatan diplomasi yang konsisten dan berterusan membina asas keamanan.
“Malaysia mesti terus memperjuangkan dialog, kestabilan dan keadilan bukan sahaja untuk rakyat Palestin dan Gaza tetapi untuk tujuan kemanusiaan yang lebih luas,” menurut IAIS.
-- BERNAMA