Skip to main content

Malaysia

Datuk Jalaluddin Abdul Rahman dilantik Pesuruhjaya Polis Sabah yang baru

81404111353_295x200.jpg
Bekas Ketua Polis Kelantan Datuk Jalaluddin Abdul Rahman dilantik  sebagai Pesuruhjaya Polis Sabah yang baharu menggantikan Datuk Hamza Taib yang dilantik sebagai Timbalan Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Bukit Aman.

Majlis serah terima tugas antara Hamza dan Jalaluddin berlangsung di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Sabah hari ini dan disaksikan oleh Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam Datuk Seri Salleh Mat Rashid.

Jalaluddin dalam ucapannya menganggap tugas baharunya itu sebagai amat berat namun berazam untuk melaksanakan peranan, tugas dan kepercayaan kerajaan dan rakyat kepada beliau dengan sebaik-baiknya.

"Sebagai seorang ketua yang menjalankan tugas-tugas sebagai ketua polis negeri, bermakna saya perlu menjadi seorang ketua yang terbaik dalam mentadbir dan menguruskan perjalanan Polis Diraja Malaysia (PDRM) dengan harapan untuk  menjadikan PDRM ini sentiasa dipandang tinggi dan dihormati oleh seluruh masyarakat di negara ini," katanya.

Jalaluddin juga berikrar untuk melaksanakan tugas dengan jujur, bersungguh-sungguh dan berharap semua warga PDRM  Sabah akan memberinya kerjasama dan komitmen padu bagi membolehkan segala agenda, perancangan serta dasar yang  telah diatur dapat dilaksana dengan sebaik-baiknya.

"Bagi saya, tidak ada kerja atau tugas rutin dalam diari saya. Semua tugas adalah penting dan semua tanggungjawab itu mesti diberi keutamaan. Itulah amalan saya selama ini dan berharap agar Allah memberikan saya kudrat dan hidayah untuk terus berkeupayaan tinggi menjadi ketua yang baik kepada warga PDRM Kontinjen Sabah," katanya.

Jalaluddin pernah bertugas di Sabah sebagai pegawai polis marin dari 1978 hingga 1990.

Sementara itu, ketika bertemu pemberita kemudian, Hamza berkata sepanjang pengalamannya sebagai pegawai polis selama 39 tahun, menjadi Pesuruhjaya Polis Sabah selama tiga tahun lapan bulan merupakan tugas yang paling mencabar kerana terpaksa  berhadapan dengan pelbagai peristiwa sepanjang tempoh berkenaan.

"Perkara yang tidak akan saya lupakan ialah sebagai Pesuruhjaya Polis Sabah, saya telah melakukan yang terbaik mengikut kemampuan saya. Pencerobohan (pengganas) di Lahad Datu dan proses pilihan raya umum Ke-13 telah berjaya kita  tangani dengan baik," katanya.

Must Watch Video