Skip to main content

Dunia

Peraturan ketat pelancong ke AS tidak mungkin berkuat kuasa sebelum pertengahan 2026

Pelancong USA, AP Newsroom
Di bawah cadangan baharu, pelancong yang memohon melalui Sistem Elektronik untuk Kebenaran Perjalanan (ESTA) perlu menyediakan lebih banyak maklumat peribadi, sebelum dapat dipertimbang masuk ke Amerika Syarikat. - Gambar fail/AP

WASHINGTON: Keperluan masuk yang lebih ketat bagi pelancong dari lebih 40 negara yang melancong ke Amerika Syarikat (AS) berkemungkinan tidak berkuat kuasa sebelum pertengahan 2026, menurut Kastam dan Perlindungan Sempadan (CBP), lapor Agensi Berita Jerman.

Butiran mengenai perubahan yang dicadangkan masih belum dimuktamadkan. Tempoh untuk komen awam terhadap draf peraturan ditutup pada Isnin lalu dan kini semua maklum balas perlu disemak, satu proses yang biasanya mengambil masa sehingga dua bulan, menurut CBP.

Di bawah cadangan itu, pelancong yang memohon melalui Sistem Elektronik untuk Kebenaran Perjalanan (ESTA) perlu menyediakan lebih banyak maklumat peribadi.

Ini termasuk mendedahkan maklumat mengenai aktiviti media sosial mereka dalam lima tahun terakhir, serta data tambahan mengenai kontak dan keluarga, walaupun cadangan itu tidak menyatakan skop tepat maklumat yang diperlukan.

Menurut CBP, langkah ini bertujuan melindungi negara daripada ancaman pengganas dan ancaman lain.

Perubahan ini akan memberi kesan kepada rakyat dari negara yang menyertai Program Pengecualian Visa, yang membolehkan perjalanan tanpa visa ke AS sehingga 90 hari.

CNN melaporkan pada Januari, memetik persatuan hotel dan hospitaliti di Florida, bahawa pegawai menyatakan pemohon mungkin diminta memberikan nama akaun media sosial, tetapi tidak diwajibkan untuk memberi akses ke akaun atau pos individu.

CBP juga tidak akan menyemak aktiviti media sosial semua pemohon, menurut laporan itu.

-- BERNAMA-dpa

 

 

Must Watch Video