KUALA LUMPUR: 19 Ahli Parlimen Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) berpakaian putih hadiri majlis taklimat ‘Reset Politik’ anjuran Datuk Seri Hamzah Zainudin.
Tinjauan Astro AWANI mendapati antara Ahli Parlimen yang hadir ialah Datuk Seri Ronald Kiandee (Beluran), Datuk Mas Ermieyati Samsudin (Masjid Tanah), Datuk Khlir Mohd Nor (Ketereh), Datuk Ku Rahman Ku Ismail (Kubang Pasu) dan lain-lain.
Difahamkan taklimat tersebut diadakan susulan Lembaga Disiplin Bersatu memecat Hamzah selaku Timbalan Presiden berserta Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal (Machang), Fathul Huzir Ayob (Gerik) dan Kapten Azhari Hassan (Padang Rengas) berserta dua Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN).
Majlis tersebut menyaksikan ratusan penyokong Hamzah turut hadir untuk mendengar taklimat yang dijadual berlangsung pada jam 5 petang.
"Hidup! Hidup! Hamzah.." Itu antara slogan yang dilaungkan oleh penyokong yang hadir di majlis taklimat ‘Reset Politik’ di Rumah Kelab Persatuan Alumni Universiti Malaya (PAUM) di sini hari ini.
Semalam, antara Dua ADUN yang dipecat ialah ADUN Sungai Manik yang juga Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) BERSATU, Datuk Zainol Fadzi Paharudin, dan ADUN Bemban, Dr Mohd Yadzil Yaakub.
Seterusnya, sembilan Ketua Bahagian BERSATU turut dipecat iaitu Mohd Hassundi Hamzah (Larut), Yunus Nurdin (Libaran), Datuk Abdul Aziz Ismail (Dungun), Ahmad Nasir Mid (Selayang), Ahmad Ishak (Gopeng), Kamaruddin Majid (Teluk Intan), Datuk Zulkifli Bujang (Johor Bahru), Ramlan Meon (Tangga Batu), serta Mhod Yunus Mhd Yusop (Tapah).
Turut dipecat ialah Ketua Srikandi Muda Bersatu Sabah, Nabila Norsahar, dan Ketua Penerangan Bersatu Hulu Langat, Mohamad Shafiq Abdul Halim.
Untuk rekod, Bersatu mempunyai 31 Ahli Parlimen selepas Pilihan Raya Umum ke-15 pada 2022.
Sebelum ini terdapat enam Ahli Parlimen Bersatu turut diambil tindakan setelah menyatakan sokongan kepada Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Mereka ialah Datuk Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal (Bukit Gantang), Zahari Kechik (Jeli), Mohd Azizi Abu Naim (Gua Musang), Datuk Iskandar Dzulkarnain Abdul Khalid (Kuala Kangsar), Datuk Zulkafperi Hanapi (Tanjong Karang) dan Datuk Suhaili Abdul Rahman (Labuan).
Dalam perkembangan berasingan, Presiden Bersatu Tan Sri Muhyiddin Yassin mengumumkan jawatan Timbalan Presiden disandang oleh Datuk Seri Faizal Azumu dan Datuk Radzi Jidin.