DAP hari ini menyatakan kekecewaan terhadap kegagalan Dewan Rakyat meluluskan Rang Undang-Undang (RUU) Perlembagaan (Pindaan) untuk mengehadkan tempoh Perdana Menteri kepada 10 tahun.
Setiausaha Agung DAP Anthony Loke dalam hantaran di Facebook rasmi parti berkenaan berkata pendirian itu disuarakan dalam mesyuarat bulanan Jawatankuasa Tertinggi Pusat (CEC) DAP malam tadi.
“DAP menyeru kerajaan untuk membentangkan semula RUU tersebut dalam Sidang Parlimen yang akan datang untuk merealisasikan agenda reformasi yang penting ini,” katanya dalam hantaran itu.
Pada Isnin lepas, Rang Undang-Undang (RUU) Perlembagaan (Pindaan) 2026 bagi mengehadkan tempoh jawatan Perdana Menteri kepada 10 tahun tidak memperoleh sokongan dua pertiga Ahli Dewan Rakyat.
Yang Dipertua Dewan Rakyat Tan Sri Johari Abdul berkata keputusan undi belah bahagian menyaksikan 146 Ahli Parlimen bersetuju, 32 tidak hadir dan 44 lagi tidak mengundi.
Pindaan Perlembagaan berkenaan memerlukan sokongan sekurang-kurangnya dua pertiga, iaitu 148 Ahli Parlimen untuk diluluskan.
Semalam Jurucakap Kerajaan MADANI Datuk Fahmi Fadzil yang juga Menteri Komunikasi berkata Rang Undang-Undang (RUU) Perlembagaan (Pindaan) 2026 bagi mengehadkan jawatan Perdana Menteri kepada 10 tahun akan dibentang semula pada sesi Dewan Rakyat seterusnya Jun ini.
Perkara itu dipersetujui Mesyuarat Jemaah Menteri yang dipengerusikan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.
-- BERNAMA