KUALA LUMPUR: Dakwaan terdapat kenaikan tarif elektrik bermula April menerusi mesej dan visual palsu tular adalah tidak benar dan berpotensi mengelirukan orang ramai.
Tenaga Nasional Berhad (TNB) dalam satu kenyataan berkata, pihaknya memandang serius dakwaan tersebut dan sebarang pelarasan kos elektrik pada masa ini adalah tertakluk kepada Mekanisme Pelarasan Kos Bahan Api Secara Automatik (AFA) yang dilaksanakan dalam sektor tenaga sejak Julai 2025 lalu.
"Kadar AFA adalah berdasarkan perubahan harga bahan api global serta kadar pertukaran mata wang asing dan diselaraskan secara bulanan melalui pengesahan oleh pihak Suruhanjaya Tenaga (ST).
"TNB ingin menegaskan bahawa sebarang perubahan berkaitan kadar AFA akan diumumkan secara rasmi oleh TNB melalui saluran yang sah," ujar kenyataan tersebut.
Sehubungan itu, TNB akan melaporkan penyebaran maklumat tidak benar itu kepada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) untuk tindakan lanjut.
Orang ramai turut dinasihatkan agar tidak menyebarkan maklumat yang belum disahkan, merujuk hanya kepada pengumuman rasmi daripada TNB dan menyemak kesahihan kandungan sebelum berkongsi bagi mengelakkan kekeliruan.
TNB memaklumkan syarikat itu komited untuk memastikan pengguna menerima maklumat yang tepat dan telus.
Sebarang pertanyaan atau maklumat meragukan boleh disalurkan melalui:
- Private Message (PM) di Facebook TNB Careline
- Direct Message (DM) ke X @Tenaga_Nasional
- E-mel ke [email protected]