MELAKA: Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail hari ini menafikan dakwaan sesetengah pihak kononnya berlaku serangan ke atas Balai Polis Meru, Klang di Selangor seperti yang ditularkan di media sosial.
Beliau menyifatkan tindakan pihak tertentu yang membuat andaian itu sebagai tidak bertanggungjawab dan boleh mengundang keresahan dalam kalangan masyarakat.
“Sebarang bentuk pemberitaan yang bersifat andaian dan juga pelaporan tidak benar harus dihentikan,” katanya selepas merasmikan Majlis Iftar Jabatan Imigresen Malaysia bersama Menteri Dalam Negeri di sini hari ini.
Turut hadir Ketua Pengarah Imigresen Datuk Zakaria Shaaban dan Ketua Polis Melaka Datuk Dzulkhairi Mukhtar.
Semalam, Ketua Polis Daerah Klang Utara ACP S Vijaya Rao berkata lima lelaki berusia antara 28 hingga 41 tahun ditahan susulan pergaduhan di Balai Polis Meru manakala Ketua Polis Selangor Datuk Shazeli Kahar berkata tiga lagi individu disyaki terbabit dalam kes pergaduhan itu ditahan hari ini.
Saifuddin Nasution berkata setakat ini tiada keperluan bagi Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk menilai semula prosedur operasi standard (SOP) susulan insiden pergaduhan berkenaan.
-- BERNAMA