KUALA LUMPUR: Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) mengisytiharkan cuti sekolah tambahan sehingga dua hari sempena perayaan Aidilfitri, bergantung kepada kumpulan negeri masing-masing.
Menurut Kalendar Akademik KPM 2026, negeri dalam Kumpulan A yang merangkumi Kedah, Kelantan dan Terengganu akan mula bercuti pada 19 Mac.
Bagi negeri Kumpulan B pula, pelajar akan menikmati cuti tambahan selama dua hari iaitu pada 19 dan 20 Mac.
Kumpulan ini melibatkan Melaka, Johor, Negeri Sembilan, Pahang, Perak, Perlis, Pulau Pinang, Sabah, Sarawak, Selangor serta Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya.
Dalam masa sama, cuti Aidilfitri tersebut turut disambung dengan cuti sekolah penggal pertama, sekali gus memberi peluang kepada pelajar menikmati tempoh rehat yang lebih panjang.
Bagi negeri Kumpulan A, cuti penggal akan berlangsung selama sembilan hari bermula 20 hingga 28 Mac, manakala negeri Kumpulan B pula akan bercuti dari 21 hingga 29 Mac.