SIK: Cuaca panas dan kering yang melanda utara tanah air bukan sahaja membahayakan kesihatan malah memberi kesan kepada aktiviti harian terutama kepada mereka yang menjalankan perniagaan kecil di kawasan terbuka.
Peniaga herba di pasar pagi di sini, Jamuel Hamid, 57, berkata cuaca di daerah itu sehari dua ini terlalu panas dan boleh mencecah hingga 40 darjah Celsius pada tengah hari.
"Pelanggan ramai yang keluar membeli barang keperluan di pekan nat pada awal pagi. Sekitar 11 pagi, suasana mulai lengang kerana cuaca semakin panas dan orang ramai dah tak selesa duduk di luar.
"Lagipun dengan keadaan cuaca yang terlalu panas, memang tidak digalakkan berada di luar terlalu lama. Saya juga akan pulang awal daripada berniaga, risau terkena strok haba," katanya ketika ditemui Bernama hari ini.
Tinjauan di sekitar daerah Sik juga mendapati suhu telah mencecah 33 darjah Celsius walaupun jam baru menghampiri 11 pagi.
Sementara itu, peniaga sayur dan ulam-ulaman, Sabariah Othman, 63, berkata cuaca panas yang melampau juga telah menjejaskan barangan jualannya.
"Sayur dan ulam-ulaman perlu sentiasa direnjis air agar tidak cepat kecut dan layu tetapi dengan suhu yang terlampau tinggi walaupun diletakkan di tempat teduh tetap mudah kering.
"Panas kali ini lain macam sangat, sampaikan rasa perit bila cahaya matahari terkena kulit," katanya.
Dalam pada itu, pengunjung pasar pagi, Mariam Hamid, 45, berkata kesan cuaca panas yang melanda beberapa hari ini, semakin terasa apabila bekalan air bersih di kawasannya terputus semalam.
"Dalam kemeriahan menyambut Aidilfitri, hari raya kedua diuji dengan tiada bekalan air dan tiada notis awal, secara mengejut. Seksa sangat rasa dengan cuaca pula panas.
"Mujur hari ini bekalan kembali pulih kira-kira 5 pagi tadi. Kalau hari ini berterusan tiada bekalan air, tak tahulah macam mana keadaan kami," katanya.
Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) dalam kenyataan hari ini memaklumkan status cuaca panas di Padang Terap berada pada tahap dua (gelombang haba) dengan suhu maksimum harian antara 37 hingga 40 darjah Celsius.
MetMalaysia memaklumkan sebanyak 14 kawasan di Semenanjung Malaysia berada pada tahap satu (berjaga-jaga) termasuk di seluruh Perlis serta kawasan Baling, Sik, Pendang, Pokok Sena, Kubang Pasu, Pulau Langkawi, Kuala Muda dan Bandar Baharu.
-- BERNAMA