Skip to main content

Malaysia

Cuaca panas berpanjangan boleh jejas kesihatan - KKM

41729819258_tbCuacapanas.jpg
Golongan berisiko seperti bayi, kanak-kanak dan warga emas juga perlu dipastikan sentiasa minum air secukupnya bagi mengelakkan dehidrasi tanpa disedari. - Gambar hiasan

PUTRAJAYA: Cuaca panas berpanjangan yang melanda negara ketika ini boleh memudaratkan kesihatan manusia dengan spektrum penyakit berkaitan cuaca panas daripada tahap ringan hingga tahap teruk dan boleh membawa maut, demikian menurut Kementerian Kesihatan (KKM).

KKM dalam kenyataan hari ini memaklumkan antara gejala penyakit akibat cuaca panas melampau ialah sakit kepala, keletihan, kurang tumpuan, pening, lemah otot atau kekejangan serta rasa mual.

Menurut kementerian itu, keadaan yang lebih serius boleh menyebabkan dehidrasi, kekeliruan, tidak sedarkan diri dan koma. 

"Semua individu yang terdedah kepada cuaca panas dalam tempoh lama berisiko mengalami penyakit berkaitan cuaca panas namun kanak-kanak, warga emas, individu berpenyakit kronik, pekerja yang terdedah kepada cuaca panas serta individu yang melakukan aktiviti fizikal ketika cuaca panas adalah golongan berisiko tinggi," menurut kenyataan itu.

KKM memaklumkan berdasarkan pemantauan berterusan dari 1 Jan hingga 24 Mac lepas, sebanyak 15 kes penyakit berkaitan cuaca panas di seluruh negara direkodkan melibatkan 11 kes kelesuan haba, satu kes kejang haba dan tiga kes strok haba.

"Semua kes telah pulih kecuali satu kes strok haba melibatkan kanak-kanak yang terperangkap dalam kenderaan tanpa disedari oleh ibu bapa telah meninggal dunia disebabkan strok haba," menurut kenyataan itu.

Sehubungan itu, KKM mengingatkan orang ramai untuk mengambil langkah pencegahan, antaranya merancang aktiviti luar rumah seperti ziarah raya dengan mengelakkan waktu puncak panas antara pukul 11 pagi hingga 4 petang.

Orang ramai juga dinasihatkan untuk memastikan pengambilan air kosong sekurang-kurangnya lapan gelas sehari bagi mengekalkan hidrasi badan, serta mengurangkan pengambilan minuman manis, berkafein dan berkarbonat, kerana ia tidak baik untuk hidrasi badan.

Golongan berisiko seperti bayi, kanak-kanak dan warga emas juga perlu dipastikan sentiasa minum air secukupnya bagi mengelakkan dehidrasi tanpa disedari.

Selain itu, orang ramai digalakkan mandi dengan kerap, memakai pakaian ringan dan berwarna cerah, menghadkan aktiviti fizikal lasak serta menggunakan pelindung diri seperti payung dan topi ketika berada di luar bangunan bagi mengelakkan pendedahan secara langsung kepada cuaca panas.

KKM turut menasihatkan orang ramai supaya tidak berada di dalam kenderaan tertutup tanpa penyaman udara serta memastikan kanak-kanak tidak ditinggalkan bersendirian di dalam kenderaan yang terdedah kepada panas.

"Kementerian juga menggesa agensi kerajaan, institusi pendidikan serta pusat jagaan warga emas dan kanak-kanak agar mengambil langkah pencegahan sewajarnya bagi mengelakkan kejadian penyakit berkaitan cuaca panas," menurut kenyataan itu.

Orang ramai boleh mendapatkan maklumat terkini status cuaca panas melalui laman sesawang Jabatan Meteorologi Malaysia di www.met.gov.my serta panduan kesihatan berkaitan cuaca panas di portal rasmi KKM, infosihat.moh.gov.my.

Terdahulu, Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) dalam kemas kini status cuaca panas setakat 6 pagi tadi memaklumkan tiga daerah di Kedah kini merekodkan gelombang haba Tahap 2, manakala 16 lagi kawasan di seluruh Semenanjung Malaysia berada pada Tahap 1 iaitu berjaga-jaga setakat pagi ini.

Daerah yang terlibat bagi Tahap 2 di Kedah ialah Pokok Sena, Pendang dan Baling.

Sementara itu, 16 kawasan yang diletakkan di bawah Tahap 1 ialah Sik, Padang Terap, Kubang Pasu, Langkawi, Kuala Muda, Kulim dan Bandar Baharu di Kedah; seluruh Perlis serta kawasan Timur Laut dan Utara di Pulau Pinang.

Turut merekodkan status sama ialah Hulu Perak, Selama, Kinta dan Kuala Kangsar di Perak, selain daerah Jerantut serta Raub di Pahang.

-- BERNAMA

 

 

 

Must Watch Video