PUTRAJAYA: Sebanyak 56 kes penyakit berkaitan cuaca panas direkodkan di seluruh negara, termasuk dua kematian akibat strok haba bagi tempoh 1 Jan hingga hari ini.
Kementerian Kesihatan (KKM) dalam kenyataan hari ini memaklumkan dua kes kematian itu melibatkan seorang kanak-kanak berusia dua tahun yang tertinggal di dalam kenderaan dan seorang lelaki berusia 42 tahun yang menyertai aktiviti maraton di Pulau Pinang.
"Kedua-dua kes berlaku ketika keadaan cuaca berada di bawah Tahap Amaran 1.
"Namun, faktor risiko utama dikenal pasti adalah pendedahan kepada haba melampau dalam persekitaran tertutup dan aktiviti fizikal lasak dalam tempoh yang panjang, yang menyebabkan dehidrasi teruk serta kegagalan kawal atur suhu badan," menurut kenyataan itu.
Menurut KKM, daripada jumlah keseluruhan, 47 kes melibatkan kelesuan haba, empat kes strok haba exertional, empat kes strok haba dan satu kes kekejangan haba.
Kementerian berkenaan memaklumkan analisis menunjukkan 58 peratus kes penyakit berkaitan cuaca panas adalah berkait dengan aktiviti fizikal semasa cuaca panas.
"Daripada jumlah tersebut, hampir separuh melibatkan aktiviti sukan dan olahraga seperti merentas desa, latihan sukan dan maraton manakala sebahagian lagi melibatkan latihan fizikal berintensiti tinggi oleh pasukan keselamatan dan operasi.
"Sehubungan itu, KKM ingin menasihatkan orang ramai agar sentiasa berhati-hati dan mengambil langkah pencegahan semasa cuaca panas," menurut kenyataan itu.
Antara langkah pencegahan yang dicadangkan KKM ialah orang ramai perlu mengehadkan aktiviti fizikal lasak dan pendedahan berpanjangan kepada cuaca panas, dan sekiranya terpaksa bekerja di bawah cuaca panas, banyakkan masa untuk berehat di tempat teduh bagi menyejukkan badan.
Selain itu, orang ramai juga diingatkan untuk memperbanyakkan minum air kosong walaupun tidak berasa dahaga bagi memastikan badan kekal terhidrat serta menggunakan pelindung diri seperti topi, payung, pakaian yang ringan dan berwarna cerah.
Golongan berisiko seperti bayi, kanak-kanak, warga emas dan individu berpenyakit kronik perlu sentiasa mendapat hidrasi mencukupi, serta ibu bapa dan penjaga diingatkan untuk mengelakkan daripada meninggalkan kanak-kanak bersendirian di dalam kenderaan.
Orang ramai diingatkan untuk mendapatkan rawatan segera di fasiliti kesihatan sekiranya mengalami gejala seperti pening, mual, kekejangan otot atau keletihan melampau.
"KKM juga menggesa semua pihak termasuk agensi kerajaan, institusi pendidikan serta pusat jagaan agar mengambil langkah pencegahan sewajarnya, khususnya dalam merancang dan melaksanakan aktiviti luar bagi mengurangkan risiko penyakit berkaitan haba.
"Orang awam boleh mendapatkan maklumat terkini status cuaca panas di laman sesawang Jabatan Meteorologi Malaysia dan langkah-langkah pencegahan bagi mengurangkan kesan kesihatan akibat cuaca panas di laman sesawang KKM," menurut kenyataan itu.
-- BERNAMA