Skip to main content

Malaysia

CeIO perkukuh ekosistem integriti negara, 3,333 pegawai ditauliah sejak 2010

 foto gambar Majlis Konvensyen Pegawai Integriti Bertauliah (CeIO) Ke 12
Seramai 486 graduan menerima tauliah pada Majlis Konvokesyen CeIO Ke-12 di Bangi, hari ini. - Gambar/ Shahir Omar/ Astro AWANI

BANGI: Seramai 3,333 pegawai telah ditauliahkan menerusi Program Pegawai Integriti Bertauliah (CeIO) sejak diperkenalkan pada 2010, sekali gus membuktikan kesinambungan serta kepentingan program itu dalam membangunkan kapasiti pegawai integriti secara sistematik dan berstruktur.

Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki berkata, sejak dilancarkan, CeIO berkembang sebagai antara inisiatif utama negara dalam memperkukuh ekosistem integriti dan tadbir urus.

Menurutnya, SPRM melalui Akademi Pencegahan Rasuah Malaysia (MACA) komited memastikan kelangsungan program berkenaan bukan sekadar tertumpu kepada kuantiti graduan, sebaliknya menekankan kualiti, kerelevanan serta impaknya terhadap sistem tadbir urus negara.

“Dalam landskap pentadbiran yang semakin kompleks, CeIO perlu terus diperkasa agar mampu berfungsi secara adaptif, responsif dan berkesan dalam menyokong usaha pencegahan rasuah secara sistematik,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Konvokesyen CeIO Ke-12 di Bangi, hari ini.

Pada majlis tersebut, seramai 486 graduan ditauliahkan, terdiri daripada 283 pegawai sektor awam, 111 pegawai syarikat berkepentingan kerajaan (SBK) dan 92 pegawai sektor swasta.

Azam berkata, program CeIO dirangka secara komprehensif bagi memastikan peserta bukan sahaja memahami aspek perundangan dan pematuhan, malah berkeupayaan melaksanakan fungsi pencegahan rasuah, pengurusan integriti serta memberikan khidmat nasihat tadbir urus secara berkesan.

“Hasilnya, graduan CeIO mampu menyumbang kepada pengukuhan kawalan dalaman serta pembudayaan nilai integriti yang lebih menyeluruh dalam organisasi,” katanya.

Dalam pada itu, beliau memaklumkan MACA sedang membangunkan Arahan Perdana Menteri Tahun 2026 yang baharu bagi program CeIO bagi menggantikan arahan terdahulu, bertujuan memastikan program berkenaan kekal relevan dengan agenda nasional serta meningkatkan kecekapan sistem penyampaian.

Menurut Azam, arahan baharu itu yang telah dipersetujui secara prinsip dalam Mesyuarat Jawatankuasa Khas Kabinet Tatakelola Nasional (JKKTN) pada 12 Mac lalu, memperincikan semula keseluruhan kerangka pelaksanaan CeIO termasuk penambahbaikan objektif program serta penyelarasan fungsi dengan Unit Integriti (UI) dan Unit Integriti dan Governans (IGU).

Must Watch Video