KUALA LUMPUR: Pindaan Perlembagaan Persekutuan disaran untuk memperkukuh kedudukan Rukun Negara, termasuk menjadikannya sebagai mukadimah serta menggubal undang-undang bertulis bagi memastikan pematuhan terhadap prinsip tersebut.
Peguam Mohamed Haniff Khatri Abdulla berkata langkah itu penting bagi menyediakan asas kuasa perundangan yang jelas kepada Rukun Negara.
Menurut beliau, cadangan itu dibuat susulan titah Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim yang menekankan kepentingan mematuhi prinsip Rukun Negara.
Beliau berkata ketika ini titah Yang di-Pertuan Agong masih berbentuk nasihat dan teguran kerana ketiadaan peruntukan undang-undang khusus yang membolehkan tindakan diambil terhadap pelanggaran prinsip tersebut.
"Saya menyarankan mana-mana kerajaan sedia ada atau yang bakal dibentuk selepas Pilihan Raya Umum ke-16 supaya melaksanakan pindaan sewajarnya terhadap Perlembagaan Persekutuan, dengan memasukkan kelima-lima prinsip Rukun Negara sebagai mukadimah serta diikuti penggubalan undang-undang bertulis khusus bagi menjadikan sebarang pelanggaran atau kemungkiran terhadapnya sebagai satu kesalahan yang boleh dikenakan hukuman setimpal," katanya kepada Astro AWANI.
Menurut beliau, hanya melalui pendekatan itu, isu berkaitan kesahihan kerakyatan boleh dikaitkan secara langsung dengan tahap pematuhan seseorang terhadap Rukun Negara sebagaimana dititahkan Yang di-Pertuan Agong.
“Sekiranya seseorang melanggar prinsip asas seperti kepercayaan kepada Tuhan atau kesetiaan kepada Raja dan negara dengan jelas, maka perlu ada undang-undang bertulis yang membolehkan pembatalan kerakyatannya.
“Tanpa peruntukan sedemikian, titah Tuanku kekal sebagai nasihat dan belum menjadi undang-undang,” katanya.
Haniff berkata beliau menjunjung kasih titah Seri Paduka yang menekankan kepentingan Rukun Negara, namun menegaskan aspek perlembagaan dan perundangan perlu diperkasakan bagi memastikan pelaksanaannya berkesan.
Menurutnya, walaupun Rukun Negara telah diperkenalkan sejak 1970 dan dipromosikan secara meluas termasuk di sekolah, ketiadaan kuasa perundangan menyebabkan pelanggarannya tidak boleh diambil tindakan secara langsung.
“Jika kita hanya memaparkan Rukun Negara tetapi tidak boleh bertindak apabila ia dilanggar, maka kedudukannya belum dimartabatkan sepenuhnya dan kita masih perlu bergantung kepada undang-undang lain,” katanya.
Beliau turut merujuk perkembangan di Indonesia sebagai contoh perbandingan apabila prinsip negara itu, Pancasila, yang diisytiharkan pada 1945 hanya diberikan pengukuhan melalui perundangan pada 2011.
“Malaysia tidak terlewat untuk mengambil langkah serupa bagi memperkukuh Rukun Negara dan memberikan sumber kuasa yang jelas kepada prinsip tersebut,” katanya.
Tambah beliau, penggubalan undang-undang berkaitan kemungkiran terhadap Rukun Negara penting bagi mengekang isu seperti penghinaan terhadap institusi diraja dan sikap mempersendakan nilai asas kenegaraan.
Katanya, prinsip seperti kepercayaan kepada Tuhan serta kesetiaan kepada Raja dan negara perlu dilindungi melalui kerangka undang-undang bagi memastikan ia dihormati seluruh rakyat.