PETALING JAYA: Dua lelaki masing-masing didenda RM115,000 dan RM20,000 oleh Mahkamah Majistret di sini hari ini selepas mengaku bersalah memiliki kad mesin juruwang automatik (ATM) milik individu lain tanpa kuasa yang sah.
Lim Chan Chuan, 36, yang berdepan 23 pertuduhan didenda RM5,000 atau tiga dan empat bulan penjara bagi setiap pertuduhan oleh Majistret Farah Azura Mohd Saad dan Shahril Anuar Ahmad Mustapha.
Koh Ming Han, 28, pula didakwa atas empat pertuduhan dan Farah Azura menjatuhkan hukuman denda RM5,000 atau tiga bulan penjara bagi setiap pertuduhan terhadap lelaki itu.
Mengikut pertuduhan, Lim didakwa memiliki 23 kad ATM milik individu lain tanpa kuasa yang sah di tiga lokasi berbeza iaitu di sebuah bank di Damansara, di tempat letak kenderaan sebuah pusat beli-belah di Damansara dan di sebuah apartmen di sini antara 4.45 hingga 6.30 petang, 3 April lepas.
Koh pula didakwa memiliki empat kad ATM milik individu lain tanpa kuasa yang sah di hadapan sebuah kedai di pusat beli-belah Damansara dan di sebuah apartmen di sini pada masa dan tarikh yang sama.
Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 424A Kanun Keseksaan yang memperuntukkan denda minimum RM5,000 serta maksimum RM50,000 atau penjara antara enam bulan hingga lima tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
Berdasarkan fakta kes, pegawai kanan polis yang bertugas di Pusat Respons Penipuan Kebangsaan (NSRC) Cyberjaya pada 5.43 petang, 1 April lepas, telah menerima panggilan daripada seorang mangsa wanita yang memaklumkan telah ditipu dalam urusan tawaran perkhidmatan pencucian rumah di dalam Facebook melibatkan kerugian berjumlah RM30,000.
Wanita itu melaporkan bahawa pada 1.25 tengah hari, hari sama, dia telah berurusan dengan individu melalui Facebook bagi urusan perkhidmatan pencucian rumah dan telah mengisi maklumat perbankan peribadi miliknya setelah diberikan dua pautan bagi pembayaran deposit sebanyak RM10.
Mangsa kemudian membuat semakan perbankan talian dan mendapati terdapat transaksi mencurigakan di dalam dua akaun maybank miliknya dengan keseluruhan berjumlah RM30,000 sebelum menghubungi NSRC untuk mendapatkan bantuan awal dan membuat laporan polis.
Pada 3 April lepas, sepasukan polis dari Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Bukit Aman telah membuat tangkapan dan rampasan kesemua kad ATM tersebut daripada dua tertuduh.
Kes itu dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Ainul Athirah Jamalullail dan Lim Leong Hui manakala peguam M N Lo mewakili kedua-dua tertuduh.
-- BERNAMA