PETALING JAYA: Agensi komunikasi strategik Malaysia, bzBee Consult, sekali lagi mengharumkan nama negara di pentas antarabangsa apabila meraih dua anugerah utama pada Davos Communications Awards 2026, menjadikannya tiga tahun berturut-turut syarikat itu mencatat kejayaan di platform global berprestij berkenaan.
Pencapaian tersebut sekali gus mengukuhkan kedudukan bzBee sebagai agensi pertama dari Malaysia yang berjaya mengekalkan prestasi konsisten di Davos Communications Awards.
Pada edisi tahun ini, bzBee Consult memenangi Best Lifestyle Campaign menerusi projek Meowgical Malaysia Project – A Book of Poems: The Meowgical Tails of Malaysia, selain Sustainability Communications Campaign bagi inisiatif Indigenous Wisdom, Youth Voices, Global Action: The RAYS 2025 Legacy.
Anugerah komunikasi kelestarian itu mengiktiraf The RAYS 2025 Legacy, satu inisiatif serantau berimpak tinggi yang dibangunkan bersama Lembaga Pelancongan Sarawak (STB), yang mengangkat Rainforest Youth Summit (RAYS) 2025 sebagai platform utama advokasi kelestarian.
Kempen berkenaan menghimpunkan pemimpin belia ASEAN, pembuat dasar, komuniti Orang Asal, saintis serta media bagi memperkukuh dialog mengenai tindakan iklim, biodiversiti dan pembangunan mampan, selain berperanan mempengaruhi wacana dasar dan penglibatan pihak berkepentingan.
Strategi naratif bersepadu yang diterapkan turut menyerlahkan peranan Sarawak sebagai peneraju dalam perbincangan kelestarian, berfungsi sebagai jambatan antara warisan tradisi, ilmu sains dan agenda masa depan.
Sementara itu, projek The Meowgical Tails of Malaysia menarik perhatian juri apabila meraih Best Lifestyle Campaign, hasil pendekatan penceritaan kreatif dan berunsur emosi dalam promosi pelancongan.
Dibangunkan dengan kerjasama Kementerian Pelancongan Sarawak, kempen berkenaan menampilkan siri puisi mengenai pengembaraan watak kucing merentasi 13 negeri di Malaysia, bermula di Kuching yang dikenali sebagai “Bandar Kucing.”
Gabungan elemen kreativiti, budaya dan inovasi naratif itu memperkenalkan pelancongan sebagai pengalaman gaya hidup yang lebih mendalam, sekali gus mengukuhkan hubungan emosi dengan audiens tempatan dan antarabangsa serta meletakkan Sarawak sebagai pusat kreativiti dalam naratif pelancongan negara.
Mengulas kejayaan itu, pengasas dan Pengarah Urusan bzBee Consult, Prof. Mohd Said Bani C.M. Din berkata, pengiktirafan berkenaan membuktikan keupayaan agensi dari Malaysia menghasilkan kempen strategik yang berimpak jelas di peringkat global.
“Pengiktirafan ini membuktikan bahawa agensi dari Malaysia mampu menghasilkan kempen yang bukan sahaja kreatif, tetapi juga berteraskan strategi dan impak yang jelas,” katanya.
Pencapaian terbaharu ini melengkapkan kejayaan pada 2025, apabila bzBee memenangi Best Global Communication Campaign bagi Gateway to Borneo, manakala Prof. Mohd Said turut menerima PR Leader of the Future Gold Award pada platform sama.
Davos Communications Awards dianjurkan oleh World Communication Forum Association (WCFA) yang beribu pejabat di Davos, Switzerland, dan menghimpunkan pengamal komunikasi, pembuat dasar serta pakar industri dari seluruh dunia.