Skip to main content

Malaysia

Buruh Bangladesh maut terjatuh dalam Sungai Nenggiri

61680399991_BuruhmautjatuhSu.jpg
GUA MUSANG: Seorang buruh warga Bangladesh ditemukan lemas selepas terjatuh ke dalam Sungai Nenggiri ketika bekerja di tapak projek Hidroelektrik Tenaga Nasional Berhad (TNB) di Kampung Star, di sini, semalam.

Ketua Polis Daerah Gua Musang, Supt Sik Choon Foo berkata, mangsa Md Kashem Sikdar, 35, dipercayai terjatuh ke dalam sungai tersebut ketika melakukan kerja memanjat besi paip dalam kejadian kira-kira 12 tengah hari.

"Ketika kejadian mangsa memakai pakaian dan peralatan keselamatan dan kemalangan itu disaksikan seorang penyelia di kawasan terbabit yang melihat mangsa terjatuh bersama besi paip ke dalam sungai itu.

"Walaupun usaha menyelamat sukar dilakukan berikutan arus sungai yang deras, namun mayat mangsa dijumpai pada 12.40 tengah hari," katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata siasatan di tempat kejadian menunjukkan tiada unsur jenayah berlaku dan mayat mangsa dibawa ke Hospital Gua Musang untuk proses selanjutnya.

Kes diklasifikasi sebagai mati mengejut (SDR). - BERNAMA

Must Watch Video