Skip to main content

Malaysia

Bersih gesa Azam bercuti, digantung tugas sementara siasatan isu saham

AZAM BAKI
Azam menerusi firma guamannya, pada Khamis, menghantar LOD kepada pejabat Bloomberg di Amerika Syarikat dan Malaysia berhubung artikel yang diterbitkan agensi berkenaan. - Gambar fail

KUALA LUMPUR: Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki digesa agar bercuti atau digantung tugas sementara siasatan dijalankan berhubung dakwaan pemilikan 17.7 juta saham dalam sebuah syarikat.

Pengerusi Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih), Muhammad Faisal Abdul Aziz, berkata langkah itu penting bagi memastikan proses siasatan berjalan secara bebas, telus dan tidak menimbulkan keraguan dalam kalangan masyarakat.

"Bagi kami, untuk mengelakkan isu konflik kepentingan, adalah lebih baik beliau bercuti atau digantung tugas.

"Sekiranya SPRM sendiri yang menyiasat dalam keadaan beliau masih menjawat jawatan Ketua Pesuruhjaya, ia akan menimbulkan persoalan mengenai ketelusan dan kemungkinan konflik kepentingan.

"Siasatan yang benar-benar bebas hanya akan berlaku sekiranya pendekatan bercuti atau penggantungan tugas diambil bagi melicinkan proses siasatan ke atas beliau,” katanya kepada Astro AWANI, di sini pada Jumaat.

Muhammad Faisal menegaskan, gesaan itu bukan bertujuan menjatuhkan mana-mana pihak, sebaliknya bagi memelihara integriti institusi penguatkuasaan serta memastikan keyakinan rakyat terhadap SPRM tidak terjejas.

Terdahulu, pada Khamis, Azam menerusi firma guamannya, Zain Megat dan Murad, menghantar surat tuntutan (LOD) kepada pejabat Bloomberg di Amerika Syarikat dan Malaysia berhubung artikel yang diterbitkan agensi berkenaan.

Beliau menyifatkan laporan itu sebagai 'bersifat fitnah, tidak bertanggungjawab dan sangat mengelirukan', serta mendakwa ia memberi kesan serius bukan sahaja terhadap beliau secara peribadi, malah kepada maruah dan integriti institusi jawatan ketua agensi antirasuah itu.

Bagaimanapun, jurucakap Bloomberg News mempertahankan laporan berkenaan.
 

Must Watch Video