ANTARA pelbagai berita dalam negara yang disiarkan di Astro AWANI, berikut adalah berita yang paling menjadi tumpuan sepanjang Khamis, 19 Februari 2026.
1. Tangani kelemahan secara adil, jangan hukum sebelum siasatan - PM Anwar
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan segala kelemahan dalam pentadbiran kerajaan mahupun agensinya perlu ditangani secara adil, berhemah dan berlandaskan undang-undang.
2. Tidak wajar anggap tiada tindakan diambil hapus rasuah - PM Anwar
Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, Malaysia kekal sebagai antara negara paling aman di dunia dan badan penguatkuasaan negara secara umumnya menunjukkan prestasi yang baik meskipun masih terdapat beberapa kelemahan yang perlu diperbaiki.
3. Semua kegiatan agama, pembinaan rumah ibadat perlu ikut peraturan - PM
Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan, semua kegiatan keagamaan serta pembinaan rumah ibadat perlu mematuhi peraturan yang ditetapkan pihak berkuasa demi memastikan keharmonian dan keamanan negara terus terpelihara.
4. Bekas Ketua Hakim Negara, Tun Abdul Hamid meninggal dunia
Bekas Ketua Hakim Negara, Tun Abdul Hamid Mohamad meninggal dunia pada usia 84 tahun, pada Khamis.
5. PM Anwar hadir solat jenazah Tun Abdul Hamid
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar hadir memberi penghormatan terakhir kepada jenazah bekas Ketua Hakim Negara Tun Abdul Hamid Mohamad yang meninggal dunia pada usia 84 tahun tengah hari tadi.
6. Inflasi Malaysia meningkat 1.6 peratus pada Januari 2026 - Perangkaan
Inflasi Malaysia meningkat 1.6 peratus pada Januari 2026 dengan mata indeks meningkat kepada 135.7 daripada 133.6 pada bulan yang sama tahun lepas, kata Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM).
7. 'Tiada bahagian Bersatu Johor terbubar' - Dr Sahruddin
Ketua Bersatu Johor, Datuk Dr Sahruddin Jamal menegaskan tiada mana-mana bahagian Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) di Johor terbubar setakat ini.
8. Siasatan penuh, telus jika pegawai langgar undang-undang - Maritim Malaysia
Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) akan menjalankan siasatan penuh dan telus terhadap mana-mana pegawai atau anggotanya yang didapati melanggar peraturan atau undang-undang.
9. PM Singapura Lawrence Wong lakukan lawatan khas ke Malaysia Jumaat ini
Perdana Menteri Singapura Lawrence Wong akan mengadakan lawatan khas ke Malaysia pada Jumaat (20 Feb), dan dijadualkan bertemu dengan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.
10. Ganti rugi Ustaz Abu Syafiq fitnah KJ dikurangkan daripada RM2.5 juta kepada RM830,000
Pendakwah bebas, Ustaz Abu Syafiq yang diperintah membayar ganti rugi RM2.5 juta kerana memfitnah bekas Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin menarik nafas lega apabila Mahkamah Rayuan di sini pada Khamis mengurangkan jumlah itu kepada RM830,000.