KUALA LUMPUR: Bekas Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Tan Sri Mohd Hashim Abdullah meninggal dunia pada 2 petang hari ini di Institut Jantung Negara (IJN) akibat komplikasi kesihatan pada usia 71 tahun.
Anak ketiga Allahyarham, Aleena Fatin berkata bapanya dilaporkan mengalami serangan jantung pada Selasa lepas sebelum dikejarkan ke Hospital Putrajaya.
“Pada Selasa, ayah mengalami serangan jantung dan telah dibawa ke wad kecemasan Hospital Putrajaya. Petang itu dimasukkan ke High Dependency Unit.
“Hari ini pada 10 pagi, doktor mengarahkan kami untuk refer (rujuk) beliau ke IJN, namun semasa dalam perjalanan beliau sekali lagi mengalami serangan jantung,” katanya ketika dihubungi Bernama.
Aleena Fatin turut memaklumkan setibanya di IJN, Allahyarham diberikan bantuan pernafasan (CPR) dan disahkan meninggal dunia pada 2 petang tadi.
Sementara itu, SPR dalam hantaran di laman X menzahirkan ucapan takziah kepada seluruh ahli keluarga Allahyarham.
“Salam takziah kepada seluruh ahli keluarga Allahyarham Tan Sri Mohd Hashim Abdullah, mantan Pengerusi SPR.
“Semoga roh Allahyarham dicucuri rahmat dan ditempatkan dalam kalangan orang yang beriman dan beramal soleh. Al-Fatihah,” menurut hantaran itu.
-- BERNAMA