KUALA LUMPUR: Bekas Ketua Hakim Negara, Tun Abdul Hamid Mohamad meninggal dunia pada usia 84 tahun, hari ini.
Perkara itu disahkan dalam satu kenyataan rasmi keluarga, namun butiran lanjut mengenai punca kematian Allahyarham belum didedahkan.
Difahamkan jenazah Allahyarham masih berada Hospital Universiti Kebangsaan Malaysia (HUKM), dan proses pengebumian dijangka selepas solat Asar.
Tun Abdul Hamid dikenali atas sumbangan beliau yang besar kepada sistem kehakiman negara dan peranan beliau dalam memperkukuh integriti serta tadbir urus badan kehakiman Malaysia sepanjang kerjayanya.
Allahyarham dilahirkan pada 18 April 1942 di Kampung Permatang Tinggi Bakar Bata, Kepala Batas, Pulau Pinang.
Beliau menerima pendidikan awal di Sekolah Melayu Sungai Keladi dan menengah di St. Xavier’s Institution sebelum memperoleh ijazah perundangan dari Universiti Singapura pada 1969.
Beliau memulakan kerjaya dalam perkhidmatan kehakiman sebagai majistret di Kangar, Perlis dan Tapah, Perak, serta menyandang pelbagai jawatan penting termasuk Penolong Pengarah Biro Bantuan Guaman, Timbalan Pendaftar Mahkamah Tinggi dan Ketua Pendakwaan di Jabatan Peguam Negara.
Abdul Hamid dilantik sebagai Pesuruhjaya Kehakiman pada 1 Mei 1990, Hakim Mahkamah Tinggi pada 1992, Hakim Mahkamah Rayuan pada 1 September 2000 dan Hakim Mahkamah Persekutuan pada 1 Ogos 2003.
Beliau kemudian dilantik sebagai Ketua Hakim Negara pada usia 65 tahun.
Astro AWANI akan membawakan perkembangan terkini perjalanan terakhir Allahyarham di semua platform digital dan saluran 501.