Skip to main content

Malaysia

Bayi perempuan masih hidup ditinggalkan di kawasan parkir surau Skudai

KES BUANG BAYİ LG DI SELATAN..  Penemuan Seorang Bayi Perempuan Di Hadapan Masjid Taman Universiti, Skudai, Johor Bahru.
Radin Ramlan berkata pihaknya menerima laporan berhubung kejadian itu pada 7.33 malam daripada seorang saksi yang terdengar tangisan bayi dari lokasi berkenaan. - Gambar tangkap layar

JOHOR BAHRU: Seorang bayi perempuan ditemukan masih hidup dalam keadaan berbalut tuala, dipercayai ditinggalkan di kawasan tempat letak kereta sebuah surau di Taman Universiti, Skudai, di sini, Sabtu lepas.

Ketua Polis Daerah Johor Bahru Utara ACP Radin Ramlan Radin Taha berkata pihaknya menerima laporan berhubung kejadian itu pada 7.33 malam daripada seorang saksi yang terdengar tangisan bayi dari lokasi berkenaan.

“Hasil pemeriksaan lanjut, polis menemui bayi perempuan berkenaan dalam keadaan berbalut tuala serta masih bertali pusat,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata bayi itu telah dibawa ke Hospital Sultanah Aminah (HSA) untuk pemeriksaan dan rawatan lanjut dan kini berada dalam keadaan stabil.

Kes disiasat mengikut Seksyen 317 Kanun Keseksaan kerana membuang atau menyembunyikan bayi dengan niat untuk meninggalkannya.

Jika sabit kesalahan, pesalah boleh dikenakan hukuman penjara sehingga tujuh tahun atau denda atau kedua-duanya.

Sehubungan itu, polis kini giat mengesan individu yang terbabit dalam kejadian berkenaan.

Orang ramai yang mempunyai maklumat diminta tampil membantu siasatan dengan menghubungi pegawai penyiasat Inspektor Nursyazwani Kamaruddin di talian 017-7849034 atau Ibu Pejabat Polis Daerah Johor Bahru Utara di talian 07-5561222, atau mana-mana balai polis berhampiran.

Terdahulu, tular di aplikasi Threads sebuah video oleh pengguna ‘shahirramohdtalha’ yang memaklumkan penemuan bayi berkenaan oleh abang iparnya berusia lingkungan 40-an selepas selesai solat Maghrib ketika berjalan ke tempat letak kenderaan.

-- BERNAMA

Must Watch Video