KUALA LUMPUR: Bekas Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki dijangka memfailkan saman fitnah terhadap ahli perniagaan, Albert Tei pada Rabu ini.
Azam berkata tindakan undang-undang itu diambil bagi memastikan fakta sebenar didedahkan kepada orang ramai selain mempertahankan nama baik beliau dan suruhanjaya itu.
Menurut beliau, notis saman akan disediakan peguamnya sebelum difailkan dalam masa terdekat.
"Orang ramai perlu mengetahui fakta sebenar. Sebab itu saya mengambil tindakan undang-undang dengan segera melalui peguam," katanya ketika dihubungi Astro AWANI pada Sabtu.
Azam turut menafikan dakwaan bahawa beliau pernah berurusan atau berhubung dengan individu tersebut.
"Tidak pernah bercakap dengannya. Tidak pernah berjumpa. Saya tidak tahu apa yang dimaksudkan dengan dakwaan yang dibuat itu.
"Malah peguam saya sendiri tidak pernah berurusan dengannya. Jauh sekali untuk saya bertemu atau berbincang dengan individu terbabit," katanya.
Azam menyifatkan dakwaan tersebut sebagai cubaan yang sengaja diada-adakan bagi mengelirukan orang ramai serta mencemarkan reputasinya dan SPRM.
"Ini satu perkara yang sengaja direka bagi mengelirukan rakyat dan merosakkan reputasi SPRM serta diri saya," katanya.
Sebelum ini, Albert Tei membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Putrajaya terhadap Azam berhubung dakwaan mengugut dan cuba menghalangnya daripada mendedahkan skandal rasuah Sabah pada November 2024.
Dalam laporan itu, beliau mendakwa mempunyai bukti dokumentasi termasuk senarai individu yang mengetahui kejadian tersebut.