KUALA LUMPUR: Angkatan Tentera Malaysia (ATM) menjunjung kasih dan menzahirkan penghargaan atas titah Pemangku Sultan Johor Tunku Mahkota Ismail Sultan Ibrahim yang menyatakan sokongan tidak berbelah bahagi kepada ATM dalam memperkukuh kesiagaan pertahanan negara.
ATM dalam kenyataan hari ini memaklumkan titah kesediaan memberikan ruang serta kerjasama penuh bagi pelaksanaan eksesais ketenteraan di negeri itu menterjemahkan sinergi strategik yang utuh antara institusi diraja, kerajaan negeri dan ATM.
“Pada masa sama, ATM turut menjunjung setinggi-tinggi kasih atas jaminan Pemangku Sultan Johor untuk terus membuka pintu dan menyantuni veteran ATM yang pastinya melonjakkan lagi moral warga perkhidmatan.
“Pengiktirafan terhadap jasa perwira yang telah menamatkan perkhidmatan membuktikan bahawa pengorbanan mereka kekal dihargai,” menurut kenyataan itu.
Dalam pada itu, ATM menegaskan ketumbukan tersebut sentiasa beroperasi berlandaskan lunas perundangan, justeru mandat pertahanan negara dilaksanakan secara holistik melangkaui sempadan geografi.
“Latihan yang konsisten dan realistik di lapangan sebenar prasyarat wajib bagi memperkasakan kompetensi taktikal warga ATM sekali gus menjamin kesiapsiagaan pertahanan negara berada pada tahap tertinggi,” menurut kenyataan itu.
ATM memaklumkan akan terus memfokuskan sumber dan kepakaran yang dimiliki kepada objektif teras pertahanan nasional.
ATM juga kekal profesional dan akan sentiasa meletakkan keselamatan rakyat serta kedaulatan tanah air sebagai keutamaan mutlak di bawah naungan Yang di-Pertuan Agong.
-- BERNAMA