CEBU: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim meneruskan agenda rasmi Sidang Kemuncak ASEAN ke-48 hari ini di Filipina dengan menghadiri beberapa sesi utama melibatkan pemimpin 11 negara anggota.
Acara dimulakan dengan majlis sambutan rasmi ketibaan pemimpin ASEAN sebelum Anwar menghadiri upacara pembukaan sidang kemuncak berkenaan.
Beliau turut menghadiri sesi plenari Sidang Kemuncak ASEAN yang menghimpunkan pemimpin negara anggota bagi membincangkan isu strategik serantau termasuk kerjasama ekonomi, keselamatan dan cabaran geopolitik semasa.
Selain itu, Perdana Menteri dijadual menyertai sesi retreat pemimpin ASEAN pada tengah hari ini.
Dalam masa sama, beliau turut mengadakan beberapa mesyuarat dua hala bersama pemimpin serantau bagi memperkukuh hubungan diplomatik dan kerjasama strategik Malaysia dengan negara anggota ASEAN.
Antara pertemuan yang dijadual berlangsung ialah mesyuarat dua hala bersama Thailand, Kemboja dan Vietnam pada sebelah petang.
Perdana Menteri Anwar juga dijadual mengadakan sidang media penutup pada jam 4.40 petang bagi merumuskan pendirian serta penglibatan Malaysia sepanjang sidang kemuncak kali ini.
Selepas itu, Anwar akan menghadiri majlis makan malam gala yang dihoskan Presiden Filipina, Ferdinand Marcos Jr. bersama pemimpin ASEAN dan delegasi negara anggota.
Beliau dijangka berlepas pulang ke tanah air malam ini selepas selesai menghadiri keseluruhan program rasmi di sini.
Sidang Kemuncak ASEAN ke-48 berlangsung ketika rantau ini berdepan pelbagai cabaran global termasuk ketidaktentuan ekonomi, isu keselamatan serantau dan perkembangan geopolitik yang memerlukan pendekatan bersama dalam kalangan negara anggota.