PUTRAJAYA: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) menegaskan komitmennya dalam memperkukuh dan memperhebat operasi penguatkuasaan di perairan negara bagi membanteras penyeludupan dan pemindahan minyak secara haram melalui kaedah kapal ke kapal serta kegiatan bunkering tidak sah.
Ketua Pengarah APMM Laksamana Maritim Datuk Mohd Rosli Abdullah berkata setiap tindakan penguatkuasaan dilaksanakan secara tegas, terancang dan bersepadu bersama agensi penguatkuasaan lain bagi menutup sebarang ruang ketirisan yang boleh menjejaskan kepentingan negara.
"APMM menyambut baik ketegasan Kerajaan MADANI dalam memperkukuh kawal selia serta penguatkuasaan di bawah Skim Kawalan Diesel Bersubsidi (SKDS).
"APMM juga sedia menggalas tanggungjawab sebagai agensi peneraju sektor perairan dalam usaha membanteras ketirisan dan penyeludupan diesel bersubsidi, selaras keputusan kerajaan yang diumumkan semalam," katanya dalam kenyataan hari ini.
Semalam, Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof berkata Mesyuarat Jawatankuasa Tertinggi Penyelarasan Antara Agensi Penguatkuasaan Bagi Membanteras Ketirisan dan Penyeludupan yang dipengerusikan beliau bersetuju mengambil tindakan tegas termasuk menggantung dan membatalkan kelulusan kad fleet terhadap mana-mana pihak yang menyalahgunakan subsidi diesel di bawah SKDS.
Fadillah yang juga Menteri Peralihan Tenaga dan Tranformasi Air berkata mesyuarat turut bersetuju menetapkan agensi peneraju utama bagi tiga sektor yang dikenal pasti bagi membendung ketirisan, iaitu sektor darat akan diterajui Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), sektor sempadan oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM), manakala sektor perairan oleh APMM.
Dalam pada itu, Mohd Rosli menegaskan pengukuhan kawal selia terhadap kegiatan bunkering serta penubuhan Pasukan Khas Ops Tiris 4.0 Bersepadu di Sabah, Sarawak dan Wilayah Persekutuan Labuan akan memperkasakan lagi keberkesanan operasi di lapangan.
"Pendekatan operasi bersepadu melalui Ops Tiris 4.0 ini akan mempertingkatkan koordinasi antara agensi di peringkat Persekutuan dan negeri, sekali gus memperkukuh keupayaan penguatkuasaan maritim negara secara menyeluruh," katanya.
Beliau berkata sepanjang tahun lepas APMM telah merekodkan rampasan bahan api melibatkan nilai keseluruhan hampir RM6.5 juta, merangkumi 13,290 liter diesel dan 247,333 liter petrol.
"Statistik ini jelas menunjukkan keseriusan serta keupayaan APMM dalam membanteras ketirisan bahan api di perairan negara dan usaha ini akan terus dipertingkatkan dari semasa ke semasa," katanya.
Beliau berkata usaha APMM tidak terhenti di situ malah diperkasakan dengan meningkatkan pemantauan strategik, termasuk penggunaan teknologi satelit kerjasama serantau rondaan serta risikan di kawasan panas yang dikenal pasti sebagai laluan utama, bagi mengekang aktiviti penyeludupan bahan api yang boleh menjejaskan keselamatan perairan negara.
Mohd Rosli berkata APMM tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang cuba mengambil kesempatan terhadap subsidi kerajaan dan setiap pelanggaran undang-undang akan diambil tindakan tanpa pengecualian.
“Orang amai juga diseru agar menyalurkan sebarang maklumat mengenai aktiviti mencurigakan atau aduan jenayah maritim ke Pusat Operasi Maritim Negeri berhampiran atau menghubungi talian kecemasan 999 untuk tindakan segera,” katanya.
-- BERNAMA