KUALA LUMPUR: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini berhubung dengan Perdana Menteri India Narendra Modi bagi membincangkan perkembangan terkini di Asia Barat.
Menerusi perkongsian di Facebook, Anwar berkata beliau berkongsi pendirian tegas dan konsisten Malaysia dalam mengutuk pengeboman oleh Israel terhadap Iran yang didukung Amerika Syarikat.
"Perbincangan kami bertumpu pada perkembangan mutakhir di Asia Barat yang kian memburuk, apatah lagi di bulan Ramadan yang sepatutnya menjadi medan damai dan ketenangan,” kata beliau.
Perdana Menteri berkata beliau dan Modi sepakat menyeru agar pertempuran segera dihentikan dan usaha digembleng untuk menjunjung suara damai, diplomasi dan dialog sihat.
Anwar berkata mereka turut sepakat bahawa Malaysia dan India mesti berganding bahu memperkukuh suara kolektif di semua pentas antarabangsa termasuk di Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dan BRICS.
Beliau berkata kerjasama padu itu menjadi semakin mendesak ketika dunia dirundung suasana ekonomi global yang kelam termasuk memberi kesan kepada aspek keterjaminan makanan.
“Insya-Allah, Malaysia dan India akan terus memperkukuh iltizam bersama demi keamanan sejagat,” katanya.
-- BERNAMA