BANGI: Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam (NRES) akan menambah bilangan anggota Jabatan Alam Sekitar (JAS) dan menubuhkan satu cawangan khas di pelabuhan bagi memperkukuh operasi penguatkuasaan membabitkan kemasukan sisa elektronik (e-waste) haram ke negara ini.
Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam Datuk Seri Arthur Joseph Kurup berkata permohonan penambahan anggota JAS kini dalam proses dan satu kertas cadangan akan dibentangkan kepada Jemaah Menteri dalam masa terdekat.
“Kita sedang berusaha yang pertamanya untuk menubuhkan satu cawangan JAS khas di kawasan pelabuhan. Kedua, untuk menambah lagi bilangan kakitangan pegawai supaya kita boleh memenuhi permintaan tenaga kerja ini dengan tugasan yang semakin bertambah.
“Permohonan (anggota) itu sudah dalam proses dan mungkin dalam minggu hadapan, kita akan bawa satu kertas kepada Jemaah Menteri supaya bilangan kakitangan itu ditambah dahulu barulah cawangan JAS itu boleh ditubuhkan,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan sambutan Hari Penguatkuasa JAS ke-51 di sini, hari ini.
Ditanya sama ada Malaysia masih menjadi destinasi pelupusan e-waste haram, Arthur mengakui bahawa risiko itu masih ada, namun aspek penguatkuasaan akan diperketat di semua lokasi bagi mengelak kemasukan bahan terbabit.
“Jadi, yang kita kena tingkatkan ialah penguatkuasaan, khususnya di kawasan pintu sempadan negara untuk mengelakkan daripada kemasukan e-waste berlaku.
“Kita juga sentiasa bekerjasama melalui operasi secara bersepadu dengan jabatan dan juga agensi yang lain seperti Polis Diraja Malaysia,” katanya.
Berhubung pendedahan sindiket e-waste yang disyaki menggunakan jaringan pemain industri, beliau berkata perkara berkenaan kini dalam radar JAS dan pihaknya akan memperkasakan pemeriksaan di semua kilang.
“Kita juga dilibatkan melalui Ops Hazard dengan pergi melawat premis-premis, khususnya kilang haram yang beroperasi tanpa lesen,” katanya.
Sebelum ini, Ketua Polis Negara Datuk Seri Mohd Khalid Ismail berkata PDRM tidak menolak kemungkinan kegiatan pemprosesan sisa elektronik dijalankan oleh sindiket yang mempunyai jaringan dalam kalangan pemain industri yang sama.
Beliau berkata Ops Hazard 3.0 yang dijalankan secara bersepadu di seluruh negara sejak 6 April lepas merekodkan rampasan dan sitaan keseluruhan mencecah RM582 juta, dengan 515 ditahan.
-- BERNAMA