Skip to main content

Malaysia

Anak Daim Zainuddin, Asnida tiba di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur

Asnida didakwa mengikut Seksyen 36(2) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur
Asnida tiba di pekarangan kompleks mahkamah pada 8.40 pagi diiringi ahli keluarganya. - Gambar Astro AWANI/ SHAHIR OMAR

KUALA LUMPUR: Anak perempuan bekas Menteri Kewangan, Allahyarham Tun Daim Zainuddin tiba di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur bagi menghadapi pertuduhan gagal mematuhi notis Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk mengisytiharkan harta.

Asnida yang memakai kemeja biru gelap tiba di pekarangan kompleks mahkamah pada 8.40 pagi diiringi ahli keluarganya.

Berdasarkan semakan sistem mahkamah, pertuduhan terhadapnya akan dibacakan di hadapan Hakim Mahkamah Sesyen Rosli Ahmad pada 9 pagi.

Asnida akan didakwa mengikut Seksyen 36(2) Akta SPRM 2009 berkaitan dengan kesalahan gagal mematuhi notis bertulis daripada SPRM untuk mengisytiharkan harta.

Individu yang gagal mematuhi notis itu boleh dihukum penjara sehingga lima tahun dan denda tidak melebihi RM100,000 jika sabit kesalahan.

Sebelum ini, peguam Asnida mengesahkan anak guamnya diambil keterangan bermula jam 10 pagi semalam dan selesai kira-kira lima jam kemudian di Ibu Pejabat SPRM.

Media sebelum ini melaporkan Notis Kesan Individu dikeluarkan ke atas empat anak Allahyarham Daim susulan kegagalan mereka memberi maklum balas dan ketidakpatuhan terhadap dua notis rasmi yang diserahkan SPRM berkaitan perisytiharan aset.

Selain Asnida, tiga lagi anak Allahyarham Daim ialah Md Wira Dani, Muhammed Amir Zainuddin dan Muhammed Amin Zainuddin.

Ia bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 36(1)(b) Akta SPRM 2009.

Menurut SPRM, notis itu dikeluarkan selepas tiada maklum balas diterima dan usaha menghubungi keempat-empat mereka tidak berjaya, setakat 26 Februari lalu.
 

Must Watch Video