Skip to main content

Dunia

Transit Selat Hormuz beralih kepada "sistem dua koridor"

selat Hormuz
Selat Hormuz menyaksikan penurunan ketara trafik kapal susulan tindakan ketenteraan berskala besar yang dilancarkan oleh AS dan Israel terhadap Iran pada 28 Feb, serta serangan balas Iran selepas itu. - Gambar/ Reuters

LONDON: Transit maritim melalui Selat Hormuz telah beralih kepada “sistem dua koridor”, yang menggabungkan laluan utara di bawah kawalan Kor Pengawal Revolusi Islam Iran (IRGC) dengan laluan selatan baharu di sepanjang pesisir Oman, menurut sebuah firma analisis maritim yang beribu pejabat di London pada Ahad, lapor Xinhua.

Menurut laporan yang dikeluarkan oleh Windward, sebanyak 11 kapal melalui Selat itu pada 5 April, termasuk tiga kapal masuk dan lapan kapal keluar. Semua kapal yang masuk ialah kapal tangki, manakala aliran keluar melibatkan kapal tangki dan kapal kargo.

Aliran keluar itu terbahagi antara dua laluan berkenaan. Lima kapal melalui koridor utara berhampiran Pulau Larak yang masih berada di bawah kawalan IRGC, manakala tiga kapal menggunakan koridor selatan di sepanjang pesisir Oman.

Laporan itu menyatakan bahawa laluan utara terus beroperasi di bawah kawalan IRGC dengan tumpuan di Pulau Larak.

Sementara itu, kemunculan koridor selatan membolehkan kapal melalui kawasan di luar zon kawalan asal.

Data menunjukkan koridor selatan mula beroperasi pada 2 April apabila tiga kapal - termasuk dua kapal pengangkut minyak mentah bersaiz sangat besar dan sebuah kapal pengangkut gas asli cecair (LNG) -menggunakan laluan itu. Ini menandakan transit LNG pertama melalui Selat itu sejak tercetusnya pertempuran.

Dari 3 hingga 5 April, jumlah kapal yang menggunakan koridor selatan masing-masing ialah dua, empat dan tiga buah.

Laporan itu menyatakan kadar perkembangan berkenaan menunjukkan peralihan pantas daripada penggunaan awal yang terhad kepada operasi berbilang kapal yang diselaraskan.

Selat Hormuz, laluan sempit strategik perkapalan tenaga global, menyaksikan penurunan ketara trafik kapal susulan tindakan ketenteraan berskala besar yang dilancarkan oleh Amerika Syarikat (AS) dan Israel terhadap Iran pada 28 Feb, serta serangan balas Iran selepas itu.

-- BERNAMA-XINHUA

 

Must Watch Video