KUALA LUMPUR: AFA PRIME Berhad (AFA Prime) memperkenal Jadual Cadangan Waktu Perjalanan (TTA) sebagai persediaan menghadapi lonjakan trafik sempena Hari Raya Aidilfitri 2026.
AFA Prime berkata jadual tersebut bagi pengguna Lebuhraya Kuala Lumpur-Karak (KLK) dan Lebuhraya Pantai Timur Fasa 1 (LPT1).
Menurutnya, inisiatif tersebut merupakan langkah proaktif syarikat untuk mengurangkan kesesakan di titik-titik kritikal, terutamanya di Plaza Tol Gombak, Bentong, dan Karak yang menjadi gerbang utama ke Pantai Timur.
Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif AFA PRIME Berhad, Ahmad Faizi Latifi Ahmad Faiz berkata langkah ini bertujuan mewujudkan ekosistem pemanduan yang lebih selamat dan kurang tekanan.
"Matlamat utama kami adalah untuk menjadikan pengalaman perjalanan pengguna yang menceriakan,” katanya melalui kenyataan yang disiarkan hari ini.
Bagi fasa “Balik Kampung” pada 19 dan 20 Mac 2026 dari Kuala Lumpur dan Selangor, pengguna yang menuju ke Pahang disarankan memasuki lebuh raya antara jam 8 pagi hingga 11 pagi, atau 12 tengah hari hingga 4 petang.
Bagi destinasi ke Terengganu dan Kelantan pula, slot masa yang dicadangkan ialah antara 9 pagi hingga 12 tengah hari, atau 8 malam hingga 11 malam.
Manakala bagi fasa “Pulang ke Kota” pada 23, 28 dan 29 Mac 2026, pengguna dari Pahang digalakkan memasuki lebuh raya antara 7 pagi hingga 10 pagi, atau 7 malam hingga 11 malam.
Bagi perjalanan dari Terengganu dan Kelantan, cadangan waktu masuk lebuh raya ialah antara 10 pagi hingga 1 tengah hari, 4 petang hingga 8 malam, atau 9 malam hingga 12 tengah malam.
Pengguna juga disarankan memanfaatkan “Waktu Perjalanan Bebas” antara jam 12 tengah malam hingga 6 pagi untuk memastikan perjalanan lebih lancar dan selesa.