KUANTAN: Kerajaan Negeri Pahang akan menyiasat aduan pekebun sayur di Cameron Highlands yang mendakwa terpaksa menjual hasil tanaman pada harga rendah, iaitu 20 hingga 30 sen sekilogram kepada pemborong.
Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Pengguna dan Sumber Manusia Pahang Sim Chon Siang berkata pihaknya menerima aduan terus daripada pekebun berkaitan hal itu minggu lepas, dan mendakwa mereka kini berdepan tekanan kos operasi amat tinggi serta bebanan membayar hutang bank.
Beliau berkata situasi itu secara langsung menimbulkan persoalan mengenai rantaian bekalan serta penentuan harga yang menyebabkan jurang besar antara harga ladang dan harga pasaran.
“Pekebun mendakwa mereka hanya menerima kira-kira 20 hingga 30 sen sekilogram bagi sayur tertentu, tetapi apabila sampai ke pasaran harga boleh mencecah RM3 atau RM4 sekilogram,” katanya pada sidang media selepas memantau harga sempena Pelaksanaan Skim Harga Maksimum Musim Perayaan (SHMMP) Hari Raya Puasa 2026, di sini hari ini.
Beliau berkata berikutan itu pihaknya akan turun ke Cameron Highlands pada 30 dan 31 Mac ini bagi bertemu sendiri pekebun untuk mendapatkan gambaran lebih jelas mengenai isu yang mereka hadapi.
Dalam pada itu, beliau turut meminta Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Pahang meneliti isu berkenaan bagi memahami punca sebenar perbezaan harga yang ketara pada peringkat ladang dan pasaran.
Berhubung SHMMP, KPDN Pahang akan turut meningkatkan kehadiran pegawai penguat kuasa di lokasi strategik seperti pasar awam, pasar tani dan pusat beli-belah bagi memastikan pematuhan terhadap skim berkenaan.
-- BERNAMA