KUALA LUMPUR: Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) menzahirkan rasa dukacita mendalam susulan pemergian Profesor Diraja Tan Sri Dr. Syed Muhammad Naquib Al-Attas yang disifatkan sebagai satu kehilangan besar kepada dunia keilmuan Islam.
Menerusi satu kenyataan hari ini, ABIM menyifatkan pemergian Allahyarham bukan sahaja dirasai di Malaysia, malah turut diratapi oleh dunia Islam serta tradisi intelektual sejagat.
Katanya, Allahyarham dikenang sebagai seorang pemikir agung yang memberikan sumbangan besar dalam pembangunan falsafah Islam, pendidikan serta pembinaan peradaban.
ABIM turut menyifatkan Syed Muhammad Naquib sebagai antara tokoh penting yang berjaya mengembalikan keyakinan umat terhadap tradisi ilmu Islam, selain menghubungkan warisan intelektual Islam dengan cabaran dunia moden.
Sepanjang hayatnya, Allahyarham menghasilkan ratusan karya yang merangkumi pelbagai bidang termasuk falsafah, metafizik Islam, kesusasteraan, sejarah, pendidikan serta peradaban Melayu-Islam. Malah, karya-karya beliau turut diterjemahkan ke pelbagai bahasa dan menjadi rujukan penting dalam wacana pemikiran Islam di seluruh dunia.
Sementara itu, ABIM turut menekankan hubungan sejarah antara gerakan tersebut dengan Allahyarham, khususnya pada era awal kebangkitan Islam ketika organisasi itu dipimpin oleh Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Antara karya berpengaruh Syed Muhammad Naquib termasuk Islam Dalam Sejarah dan Kebudayaan Melayu (1972), Islam and Secularism (1978), The Concept of Education in Islam (1980) serta karya terakhir beliau, Islam: The Covenants Fulfilled yang diterbitkan pada tahun 2023.
Selain sumbangan pemikiran, ABIM turut menjelaskan bahawa Allahyarham pernah terlibat dalam mereka bentuk logo rasmi gerakan tersebut yang masih digunakan sehingga hari ini, selain mencetuskan idea penerbitan Risalah ABIM.
Sehubungan itu, ABIM menggesa kerajaan agar mempertimbangkan penganugerahan gelaran Tokoh Peradaban Negara atau bentuk penghormatan setara kepada Allahyarham sebagai pengiktirafan terhadap sumbangan besarnya dalam pembangunan pemikiran dan peradaban Islam di Malaysia.
“Pengiktirafan sedemikian bukan sekadar mengenang seorang sarjana besar, tetapi juga sebagai penghormatan terhadap tradisi ilmu yang menjadi asas pembinaan tamadun bangsa,” menurut kenyataan itu lagi.