Skip to main content

Malaysia

255 pegawai dan anggota polis bertugas di 48 'hotspot', 29 'blackspot' di Perak

GOPENG, 17 Mac -- Ketua Polis Perak Datuk Noor Hisham Nordin (tengah) bergambar bersama para jemputan ketika hadir pada Majlis Pelancaran Op Selamat 26 sempena Hari Raya Aidilfitri Peringkat Negeri Perak di Pusat Transformasi Luar Bandar (RTC) hari ini.   --fotoBERNAMA (2026)
Noor Hisam (tengah) bergambar bersama para jemputan ketika hadir pada Majlis Pelancaran Op Selamat 26 sempena Hari Raya Aidilfitri Peringkat Negeri Perak di Pusat Transformasi Luar Bandar (RTC) Gopeng, 17 Mac 2026. --fotoBERNAMA

IPOH: Sebanyak 255 pegawai dan anggota polis daripada Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) kontinjen Perak akan ditugaskan sepanjang pelaksanaan Op Selamat 26 sempena Aidilfitri ini.

Ketua Polis Perak Datuk Noor Hisam Niordin berkata jumlah itu melibatkan 32 pegawai kanan dan 223 pegawai rendah yang akan ditempatkan di 48 lokasi hotspot dan 29 kawasan blackspot berlaku kesesakan serta berisiko berlaku kemalangan.

“Kesemua mereka akan ditempatkan di lokasi ini yang kita jangkakan berlaku kesesakan serta berisiko berlaku kemalangan sepanjang pelaksanaan Op Selamat dari 19 Mac hingga 24 Mac ini,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Majlis Pelancaran Op Selamat XXVI sempena Hari Raya Aidilfitri 2026 Peringkat PDRM Kontinjen Perak di Pusat Transformasi Luar Bandar (RTC) Gopeng, di sini, pada Selasa.

Noor Hisam berkata pihaknya turut menjangkakan jumlah kenderaan di jalan Persekutuan dan negeri meningkat lebih 30 peratus berbanding kebiasaan, sepanjang tempoh perayaan.

Beliau berkata peningkatan berkenaan dijangka berlaku pada 18 hingga 20 Mac ini susulan pergerakan orang ramai pulang ke kampung halaman bagi menyambut Aidilfitri.

“Sehubungan itu, orang ramai dinasihatkan merancang perjalanan dengan baik serta memastikan kenderaan berada dalam keadaan selamat sebelum memulakan perjalanan,” katanya.

Selain itu, beliau turut mengingatkan pengguna jalan raya supaya mematuhi peraturan lalu lintas dan tidak melakukan kesalahan seperti memandu melebihi had laju, menggunakan lorong kecemasan serta menggunakan telefon bimbit ketika memandu.

Beliau berkata pendekatan penguatkuasaan secara menyeluruh akan dilaksanakan sepanjang operasi itu bagi memastikan keselamatan pengguna jalan raya terus terjamin.

-- BERNAMA

 

 

Must Watch Video